Campus

Pameran Gastronomi Warisan Kedah tonjol keunikan kuliner tempatan di UUM

Gambar oleh: STHEM

SINTOK, 17 – 18 Disember 2025: Pameran Gastronomi Warisan Kedah telah berjaya dianjurkan oleh pelajar kursus GHZTK3133, Event Administration and Coordination (Kumpulan A dan B) dengan kerjasama Event Management, Training, Research, Activities and Consultation (EMTRAC) bertempat di Ruang Hijau, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pameran yang dianjurkan selama dua hari bertujuan untuk mengetengahkan, mendokumentasikan serta mempromosikan kekayaan warisan gastronomi negeri Kedah melalui pendekatan akademik dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Di bawah penyeliaan Dr. Norwani Mohd Nazari dan Puan Wan Fatinah Wan Nasir, pameran ini menampilkan sebanyak 21 booth pameran yang mempersembahkan kira-kira 42 jenis masakan warisan Kedah, merangkumi hidangan utama dan pencuci mulut tradisional.

Setiap kumpulan pelajar telah memilih menu tradisi Kedah tertentu dan menyediakan pameran informasi yang menerangkan latar belakang makanan, bahan-bahan, kaedah penyediaan serta nilai budaya yang terkandung dalam masakan tersebut.

Selain aspek informasi, pelajar turut dituntut untuk menampilkan elemen kreativiti dan inovasi dalam penyampaian pameran.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tayangan video masakan, demonstrasi memasak secara langsung, jualan makanan, serta sesi interaktif di mana pengunjung dijemput untuk mencuba sendiri menu tradisi Kedah.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pengunjung, malah menjadikan pameran lebih hidup dan menarik.

Pameran ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan suasana yang meriah dan interaktif, melibatkan kehadiran bukan sahaja pelajar tetapi juga para pensyarah dan warga universiti.

Pengunjung berpeluang merasai sendiri keunikan rasa masakan tradisional Kedah sambil berinteraksi secara langsung dengan pelajar, sekali gus mengukuhkan pembelajaran dua hala dan perkongsian ilmu.

Bagi memastikan kualiti dan piawaian profesional, pameran ini telah dinilai oleh empat orang panel jemputan iaitu Dr. Eshaby Mustafa, Dr. Muhammad Nur Hidayat Mohd Salim, Muhammad Zulhilmi Zulkurnain dan Norhafizi Nordin.

Penilaian tertumpu kepada aspek keaslian masakan, kreativiti pameran, persembahan, rasa serta keberkesanan penyampaian maklumat berkaitan warisan makanan.

 

Turut hadir Dr. Ahmad Edwin, salah seorang pensyarah kanan STHEM. “Penganjuran pameran seumpama ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan pada masa hadapan” ujar beliau. Beliau mencadangkan agar pameran akan datang memberi fokus kepada masakan tradisional Pantai Timur atau masakan tradisional Malaysia secara lebih menyeluruh, serta dianjurkan dalam skala yang lebih besar bagi meningkatkan penglibatan industri, komuniti dan impak kepada sektor pelancongan.

Secara keseluruhannya, Pameran Gastronomi Warisan Kedah membuktikan keberkesanan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam bidang pengurusan acara. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran pelajar dalam perancangan dan pelaksanaan acara, malah menyumbang secara signifikan kepada pemeliharaan warisan budaya, penglibatan komuniti dan pembangunan pelancongan gastronomi tempatan. – Dr. Norwani Mohd Nazari

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button