UUM dan JPS bincang kerjasama strategik tangani isu banjir melalui teknologi geospatial
Berita dan gambar oleh Prof. Dr. Huda Bt Haji Ibrahim
CYBERJAYA, 18 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM), menerusi Pusat Pengajian Pengkomputeran telah mengadakan satu mesyuarat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membincangkan kerjasama strategik dalam membangunkan rangka kerja perkongsian maklumat geospatial untuk meningkatkan keupayaan pengurusan risiko banjir di Malaysia.

Mesyarat yang diadakan di Ibu Pejabat JPS Cyberjaya itu berfokus kepada inisiatif penyelidikan UUM di bawah Geran Skim Penyelidikan Asas (FRGS) Kementerian Pengajian Tinggi, bertajuk “Rangka Kerja Perkongsian Maklumat Geospatial untuk Meningkatkan Keupayaan Pengurusan Risiko Banjir di Malaysia”.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Huda Ibrahim (SOC) selaku Pengerusi JK Industri dan Komuniti, SOC menekankan bahawa JPS dikenal pasti sebagai pemegang taruh dan rakan kerjasama utama dalam inisiatif nasional ini, memandangkan mandat dan kepakarannya dalam pengurusan mitigasi banjir dan sumber air.
“Peranan JPS adalah penting untuk memastikan rangka kerja yang dicadangkan bukan sahaja kukuh dari segi teknikal, tetapi juga relevan dan boleh dilaksanakan secara operasi,” katanya.

Antara bidang kerjasama yang dicadangkan termasuklah perundingan pakar, perkongsian pengetahuan mengenai jenis data dan piawaian, penyertaan dalam kajian kes di Kedah, serta proses pengesahan rangka kerja tersebut.
Kerjasama seumpama ini amat diperlukan memandangkan banjir dianggarkan menyebabkan kerugian ekonomi berjumlah RM0.8 bilion pada tahun 2023, selain isu jurang operasi seperti kekurangan pemiawaian data dan halangan institusi.
Sebagai langkah seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk memuktamadkan dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama, serta menjadualkan sesi penglibatan awal dengan pakar-pakar dari JPS.

Selain projek FRGS ini, potensi kerjasama lain turut dibincangkan, termasuk program sarjana dan kedoktoran, pelajar siswazah, serta program perkongsian ilmu melalui slot penceramah jemputan.
Dengan sinergi antara kepakaran akademik UUM dalam pengkomputeran, analisis data, tadbir urus dan dasar, serta pengalaman operasi JPS, diharapkan kolaborasi ini dapat menyumbang ke arah pembangunan sistem yang lebih bersepadu dan efektif bagi mewujudkan Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi bencana banjir.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ir. Hanizan Deraman (Pengarah Kanan- Sektor Pengurusan) dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan JPS serta Dr. Amirulikhsan Zolkafli (Pusat Pengajian Pengkomputeran).



