“Brisk Walk Pokok Sintok” Eratkan Hubungan Warga Pusat Kokurikulum
Berita dan gambar oleh Pusat Kokurikulum (PKOK) UUM
SINTOK, 29 November 2025: Program “Brisk Walk Pokok Sintok” anjuran Pusat Kokurikulum (PKOK) berlangsung dalam suasana santai dan mesra di sekitar kawasan Padang Golf Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, bermula seawal pagi tadi.

Aktiviti yang melibatkan warga PKOK itu dimulakan dengan sesi brisk walk mengelilingi landskap hijau padang golf yang nyaman, diketuai sendiri oleh Pengarah PKOK, Dr. Za’im Ahmad.
Menurut Dr. Za’im, aktiviti seumpama itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memberi ruang kepada warga kerja untuk lebih menghargai persekitaran tempat kerja yang kondusif.

“Kita seharusnya berasa bersyukur dan bertuah kerana dapat mencari rezeki dalam sebuah organisasi yang hebat, ditambah pula berada di lokasi hijau dan suasana yang menyegarkan minda seperti di UUM. Justeru, ia sewajarnya menjadi pemangkin untuk kita lebih bermotivasi dalam melaksanakan tugasan harian,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Tadbir PKOK, Noor Azilawati Ishak turut menyatakan rasa gembira dengan penganjuran program tersebut yang dilihat mampu mengeratkan hubungan sesama warga kerja.
“Program ini sangat seronok dan santai. Paling penting, ia mengukuhkan hubungan kerja dalam suasana yang berbeza daripada pejabat serta membantu memupuk kesejahteraan mental,” katanya.



