Lawatan penyelidikan ECOFI-SEFB ke Lembaga Zakat Negeri Kedah fokus kepada pemerkasaan asnaf
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan
ALOR SETAR, 8 Januari 2026: Satu lawatan penyelidikan dan sesi perbincangan kerjasama strategik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah diadakan di Menara Zakat bagi membincangkan inisiatif pemerkasaan asnaf melalui pendekatan keusahawanan dan koperasi sebagai instrumen pembangunan ekonomi mampan.
Lawatan ini melibatkan sekumpulan penyelidik UUM yang diketuai oleh Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan.

Turut serta dalam pasukan penyelidik ialah Dr. Mohd Fodli Hamzah dari SEFB; Prof. Dr. Selamah Maamor dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), serta Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan dan Dr. Muhammad Fadzly Zakaria yang juga dari IBS.
Dr. Shazida berkata, penglibatan penyelidik merentas disiplin ini mencerminkan komitmen UUM dalam membangunkan penyelidikan berimpak tinggi yang berteraskan pendekatan berasaskan bukti (evidence-based), khususnya dalam merangka model pembangunan asnaf yang lebih bersepadu, inklusif dan lestari.
Sesi perbincangan di pihak LZNK telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Agihan LZNK, Mohamad Suraidi Saad dan turut disertai oleh Pengarah Pusat Kajian Pengantarabangsaan Zakat Kedah, Dr. Hafizah Zainal dan pegawai utama dalam pembangunan asnaf dan pendidikan LZNK, Tarmizi Hashim, Mohd Shazril Hanis Salmi dan Marwan Alias.

Perbincangan memberi tumpuan kepada keperluan pembangunan kapasiti asnaf secara menyeluruh, termasuk potensi penubuhan koperasi asnaf sebagai platform ekonomi kolektif yang mampu menyokong kelestarian pendapatan, pengurusan risiko serta pengukuhan jaringan sokongan komuniti.
Lawatan penyelidikan ini diharapkan dapat menjadi asas kepada kerjasama strategik yang lebih menyeluruh antara UUM dan LZNK, selari dengan usaha memperkasa sosioekonomi asnaf serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam yang inklusif dan mampan di negeri Kedah.



