Campus

Majlis Bakti Berpijar 2026: Penghargaan Pusat Islam UUM kepada Sahabat Masjid dan Surau

Gambar oleh Mohd Azhar Ahmad

SINTOK, 5 Januari 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Bakti Berpijar 2026 sebagai manifestasi penghargaan terhadap dedikasi dan khidmat bakti Sekretariat Sahabat Masjid dan Surau di bawah seliaan Unit Takmir Masjid dan Surau, Pusat Islam, sepanjang tahun 2025.

Majlis yang berlangsung dengan penuh kemeriahan di Dewan Angsana, EDC Hotels & Resorts UUM itu menghimpunkan seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada Sekretariat Sahabat Masjid Sultan Badlishah, Masjid Imam As-Syafie Bukit Kachi, Sekretariat Surau Laluan C serta warga kerja Pusat Islam UUM.

Turut memeriahkan majlis ialah Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Haji Mohd Yusnaidi Md Sabri, sekali gus menjadikan penganjuran sulung ini lebih bermakna.

Dalam ucapan perasmian, beliau mengajak seluruh sekretariat untuk menghayati falsafah dan simbolik akronim “MASJID” yang menjadi teras hala tuju Pusat Islam UUM. Menurut beliau, setiap peranan dan gerak kerja sekretariat wajar digerakkan berlandaskan tiga teras utama, iaitu Pengimarahan Masjid, Kebajikan dan Dakwah.

Pengimarahan masjid, jelas beliau, perlu dilaksanakan melalui pengisian yang segar dan relevan; kebajikan pula menuntut keprihatinan terhadap rakan seperjuangan dalam komuniti kampus; manakala dakwah berperanan menyampaikan mesej Islam secara berhikmah dan inklusif.

“Majlis Bakti Berpijar ini dizahirkan sebagai tanda penghargaan universiti atas komitmen tinggi Sekretariat Sahabat Masjid dan Surau yang tidak pernah jemu memastikan syiar Islam terus berkembang subur di bumi Sintok,” ujar beliau.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kerohanian oleh kumpulan qasidah Pusat Islam, Syababul Muntazar, serta alunan nasyid menyentuh jiwa daripada D’Faith Junior yang menambahkan nilai spiritual sepanjang acara berlangsung.

Sebagai penutup, para sekretariat diraikan dalam suasana mesra menerusi jamuan makan malam istimewa. Penganjuran majlis ini bukan sahaja memberi pengiktirafan terhadap sumbangan yang telah dicurahkan, malah menjadi wadah untuk memperkukuh ukhuwah antara pengurusan Pusat Islam dan para sekretariat sebagai persediaan melangkah ke tahun 2026 dengan semangat baharu serta perancangan program yang lebih berimpak. – Mohd Firdaus Ahmat

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button