SOE UUM tarik perhatian pengetua dan guru besar Kedah dalam sesi promosi pascasiswazah
Berita dan gambar Asman Mansor
ALOR SETAR, 13 Januari 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencuri tumpuan apabila berjaya menganjurkan sesi promosi program pascasiswazah di Dewan Insaniah, Kompleks Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sempena Program Perjumpaan Profesionalisme Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Bersama-Sama Pengetua Dan Guru Besar Tahun 2026.

Sesi promosi yang disertai oleh empat wakil SOE UUM yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Marini Kasim, Dr. Marina Nazrin, Dr. Nor Fauzian Kassim dan Asman Mansor itu memberi fokus kepada program pascasiswazah iaitu Sarjana Sains (Kepengetuaan), Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan), Sarjana Pendidikan, Doktor Falsafah dan Doktor Pendidikan. Program-program ini ditawarkan khusus bagi memenuhi keperluan pembangunan profesional dalam kalangan pemimpin dan pentadbir pendidikan serta guru-guru.
Dr. Marini berkata, hadirin yang terdiri daripada pengetua dan guru besar dari seluruh negeri Kedah menunjukkan minat yang amat menggalakkan dengan sesi perbincangan berlangsung secara interaktif dan penuh keterlibatan.

Menurutnya, pelbagai soalan dan perkongsian pengalaman telah dibangkitkan, mencerminkan keperluan berterusan terhadap peningkatan ilmu kepimpinan dan pengurusan dalam dunia pendidikan masa kini.
Usaha promosi ini dilihat sebagai langkah proaktif SOE UUM dalam memperkukuhkan hubungan strategik dengan warga pendidik serta memperluaskan akses kepada pendidikan pascasiswazah yang berkualiti dan relevan dengan cabaran semasa.
Pihak SOE UUM optimis bahawa sambutan positif ini akan membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin sekolah untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sistem pendidikan negara.



