Education

Mesyuarat kerjasama strategik UUM dan JPJ Kedah perkukuh pembangunan akademik dan kokurikulum

Berita dan gambar Nur Khairiel Anuar

ALOR SETAR, 11 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kokurikulum telah mengadakan satu mesyuarat kerjasama strategik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah pada Selasa lalu di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kedah.

Mesyuarat ini dihadiri oleh Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad bersama Timbalan Pengarah (Akademik), Prof. Madya Ts. Dr. Azlizan Talib dan Timbalan Pengarah (Aktiviti), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar, manakala pihak JPJ Kedah diwakili oleh Pengarah JPJ Negeri Kedah, Stien Van Lutam serta pegawai-pegawai kanan JPJ Negeri Kedah.

Dr. Za’im berkata, perbincangan mesyuarat memfokuskan kepada dua agenda utama iaitu melibatkan kerjasama akademik dan kokurikulum yang memberi manfaat kepada pelajar dan staf kedua-dua institusi, khususnya dalam aspek pendidikan keselamatan jalan raya, latihan kepimpinan, pemindahan ilmu, serta pendedahan praktikal berkaitan pengurusan dan penguatkuasaan pengangkutan jalan.

Agenda kedua pula menyentuh perancangan penubuhan Pasukan Kor Siswa JPJ yang dicadangkan sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dan bakal dijadikan penanda aras kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Penubuhan pasukan ini dijangka mampu membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berintegriti serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap keselamatan jalan raya dan tanggungjawab sosial.

“Kerjasama strategik ini selari dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi ini menyokong pelaksanaan Elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya dalam aspek sosial melalui pembangunan modal insan serta tadbir urus yang berintegriti melalui kerjasama institusi awam dan akademik.

Inisiatif ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), antaranya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pengayaan pembelajaran berasaskan pengalaman, SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) melalui peningkatan kesedaran keselamatan jalan raya, serta SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat) menerusi kerjasama strategik antara universiti dan agensi kerajaan.

Mesyuarat berakhir dengan komitmen bersama untuk memperincikan pelaksanaan kerjasama ini melalui perancangan program, modul latihan dan struktur organisasi Kor Siswa JPJ, yang dijangka memberi impak jangka panjang kepada pembangunan mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhannya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button