Sokongan dan pengurusan Pusat Islam UUM bantu penghuni RUKAYDA mulakan persekolahan sesi 2026
Gambar oleh Aus Korni Yahaya
SINTOK, 11 Januari 2026: Langkah awal sesi persekolahan 2026 dimulakan dengan penuh semangat apabila seramai 11 orang anak yatim dan anak asnaf penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf UUM (RUKAYDA) memulakan persekolahan bagi sesi 2026.
Daripada jumlah tersebut, empat orang murid mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS), melibatkan dua orang murid Tahun 4 dan dua orang murid Tahun 6.

Sementara itu, tujuh orang lagi merupakan pelajar sekolah menengah Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS).
Bagi memastikan urusan persekolahan berjalan lancar, pihak UUM telah menyediakan perkhidmatan van khas bagi menghantar dan mengambil para pelajar RUKAYDA ke sekolah masing-masing.
Kehadiran Pengarah Pusat Islam UUM pada hari pertama persekolahan turut memberikan sokongan moral serta suntikan semangat kepada para penghuni agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pembentukan sahsiah diri.

Untuk rekod, RUKAYDA mula menerima kumpulan pertama penghuni pada 19 Mei 2018 melibatkan seramai tujuh orang anak yatim terpilih dari sekitar daerah Kubang Pasu untuk menyertai komuniti besar UUM.
Sejak penubuhannya, Pusat Islam UUM berperanan sebagai jawatankuasa operasi yang bertanggungjawab mengurus kebajikan harian penghuni termasuk aspek persekolahan, disiplin serta pembangunan holistik mereka.
Pengurusan RUKAYDA dikendalikan oleh seorang ketua warden dengan dibantu oleh seorang warden sementara, selain sokongan seorang guru pembimbing bagi memastikan kelancaran dan pemantauan akademik penghuni.
Pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah turut dirangka secara berterusan, antaranya kursus fardu ain, latihan kemahiran komputer, program motivasi, lawatan serta pelbagai aktiviti sokongan lain yang bersesuaian dengan keperluan penghuni.

Walau bagaimanapun, RUKAYDA masih memerlukan sokongan dan sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan operasi serta kebajikan penghuni secara berterusan.
Pihak pengurusan juga mengalukan mana-mana agensi, institusi, syarikat korporat atau individu yang berminat untuk melaksanakan program khidmat sosial dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama RUKAYDA. Sebarang hasrat dan perbincangan berkaitan pelaksanaan program boleh disalurkan dengan menghubungi pengurusan RUKAYDA.
Pengarah Pusat Islam, Ustaz Haji Mohd Yusnaidi Md Sabri menzahirkan harapan agar penghuni RUKAYDA terus dibimbing dengan penuh kasih sayang dan perhatian, selain diberi peluang secukupnya untuk berkembang sebagai generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memelihara kebajikan anak-anak ini merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan berterusan daripada seluruh lapisan masyarakat. – Nor Azlinah Zaini



