UUM rakam penghargaan, rai legasi kepimpinan LPU
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 18 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan kepimpinan tertinggi universiti menerusi Majlis Kepimpinan Terbilang: Menghargai Bakti, Merai Legasi yang berlangsung di Executive Development Centre (EDC), UUM, semalam.
Majlis tersebut diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar; mantan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan serta mantan Ahli LPU UUM, Tuan Haji Zambri Mat atas kepimpinan dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di UUM.
Dalam ucapannya, Pengerusi LPU UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan yang telah dicurahkan oleh para tokoh yang diraikan, yang disifatkan sebagai pemacu kestabilan, penentu hala tuju strategik serta pemelihara amanah tadbir urus universiti.

“Di bawah kepimpinan Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar, bukan sahaja berfungsi sebagai badan tadbir urus, malah menjadi tiang seri kestabilan dan penentu hala tuju strategik universiti,” katanya.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan kepimpinan yang ditaburkan tidak terhenti di peringkat mesyuarat semata-mata, sebaliknya telah meresap ke dalam budaya pengurusan, memperkukuh ekosistem akademik serta membentuk citra Universiti Utara Malaysia sebagai institusi ilmu dan kepimpinan negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Tuan Haji Zambri Mat atas sumbangan mereka di peringkat eksekutif dan dasar yang telah menyokong kesinambungan kecemerlangan universiti berlandaskan nilai kemanusiaan, kebersamaan dan tanggungjawab institusi.

Tan Sri Shukor dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas peluang berkhidmat bersama barisan kepimpinan universiti serta menegaskan bahawa LPU memainkan peranan penting bukan sekadar sebagai badan tadbir urus, malah sebagai penentu hala tuju strategik dan pemelihara amanah universiti.
Beliau berkata, sepanjang tempoh beliau menjadi Ahli dan Pengerusi LPU UUM, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah pelaksanaan mesyuarat LPU secara bulanan bagi memastikan setiap perkara yang dibincangkan dapat diputuskan dan diambil tindakan dengan segera.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan sebarang isu atau keputusan penting universiti dapat ditangani dengan lebih cekap, tersusun dan berkesan demi kepentingan jangka panjang UUM,” katanya.
Beliau turut berharap agar barisan LPU UUM baharu akan meneruskan legasi tadbir urus yang kukuh dengan semangat kebersamaan, kebijaksanaan serta komitmen tinggi dalam memacu kelestarian dan kecemerlangan UUM sebagai institusi ilmu dan kepimpinan.
Turut hadir memeriahkan majlis, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Ahli-ahli Lembaga Pengarah UUM; Ahli Jawatankuasa Universiti; Ahli Senat; Persatuan Akademia UUM (PERSATU); Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UUM (PERPATI); Kesatuan Kakitangan UUM (KESKA); Persatuan Setiausaha UUM (SETIA); Persatuan Wanita UUM (SUTRANITA); serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM.



