Bengkel AI dan Pendigitalan perkasa usahawan wanita komuniti desa
Berita dan gambar Dr. Noor Hanis Zainol Abidin
SINTOK, 25 Januari 2026: Keperluan penguasaan teknologi digital dalam pembangunan produk komuniti dan pemerkasaan usahawan wanita semakin kritikal seiring perubahan landskap ekonomi semasa.
Menyedari kepentingan tersebut, satu Bengkel Pempengaruh Digital Lanjutan: AI & Pendigitalan telah dianjurkan di bawah projek penyelidikan yang dibiayai oleh Geran Inovasi Sosial (SIGS).

Program ini merupakan sebahagian daripada penyelidikan bertajuk “Projek Geng Viral Kampung: Pempengaruh Digital Wanita sebagai Pemacu Pembangunan Komuniti Desa di Bukit Kayu Hitam, Kedah” yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti wanita komuniti melalui penguasaan kemahiran digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Projek, Dr. Rosfaraliza Azura Ramli berkata, penguasaan kemahiran digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan asas bagi memastikan produk komuniti mampu bersaing dan menembusi pasaran yang lebih luas.
“Ramai usahawan wanita dan komuniti mempunyai produk yang berkualiti, tetapi berdepan kekangan dari segi pemasaran, penjenamaan dan keupayaan menghasilkan kandungan digital yang berkesan.

“Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) mampu membantu mereka mempercepatkan proses ini secara lebih sistematik dan kos efektif,” katanya.
Bengkel ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan AI dalam penciptaan kandungan (content creation), strategi pemasaran digital, pembangunan jenama produk komuniti serta penggunaan platform media sosial secara lebih strategik dan berkesan.
Pendekatan ini dilihat mampu membantu usahawan wanita komuniti membina keupayaan kendiri, meningkatkan daya saing produk serta memperluaskan akses pasaran ke peringkat yang lebih luas.

Pendigitalan turut dikenal pasti sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan kerana ia bukan sahaja meningkatkan potensi jualan, malah membina keyakinan diri, memperkukuh jaringan sosial dan membuka peluang ekonomi baharu kepada wanita luar bandar.
Inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia dalam menyokong agenda pemerkasaan komuniti melalui pemindahan ilmu yang praktikal, inklusif dan sejajar dengan keperluan semasa masyarakat.



