General

MPP UUM sambut baik RPTM 2026–2035, tekankan pendidikan inklusif dan mampan

Berita dan gambar Amir Hazim Zainol

SINTOK, 25 Januari 2026: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menyambut baik pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 baru-baru ini dan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi negara agar lebih inklusif, mampan dan berorientasikan masa hadapan.

Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, RPTM merupakan dokumen hala tuju strategik yang memberi penekanan terhadap pembangunan insan holistik, kesejahteraan pelajar serta pembentukan kepimpinan, keusahawanan dan pemikiran sistem dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, cabaran pelajar masa kini semakin kompleks dan bersifat menyeluruh, termasuk tekanan kos sara hidup, beban kewangan harian, keperluan bekerja sambilan serta isu kesejahteraan mental dan sosial yang memberi kesan langsung terhadap tumpuan pembelajaran dan kualiti kehidupan.

“Pelaksanaan RPTM perlu berjalan seiring dengan penekanan berterusan terhadap kebajikan pelajar, sokongan psikososial, kemudahan asas kampus serta jaringan keselamatan sosial agar pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran, malah insan yang seimbang dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

MPP UUM turut menyambut baik komitmen Kerajaan memperluaskan inisiatif pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Inisiatif itu disifatkan sebagai langkah signifikan bagi menjamin akses pendidikan tinggi yang adil dan saksama, khususnya kepada golongan rentan, di samping memperkukuhkan peranan IPTA sebagai saluran mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara.

Selain itu, MPP UUM menyokong pengecualian yuran pengajian kepada kira-kira 3,000 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh IPTA, politeknik dan kolej komuniti sebagai manifestasi komitmen terhadap prinsip keterangkuman dan keadilan sosial.

MPP UUM juga menyambut baik penambahan 3,000 tempat baharu kemasukan ke IPTA bagi tahun 2026, khususnya kepada pelajar cemerlang dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bidang berimpak tinggi seperti undang-undang, perakaunan, kewangan, kecerdasan buatan, ekonomi, bahasa, komunikasi, pengajian media, sains data serta sains komputer.

Dalam aspek kebajikan pelajar, MPP UUM menghargai komitmen Kerajaan menangani isu penginapan pelajar melalui penyediaan 5,000 unit penginapan tambahan hasil kerjasama strategik antara universiti dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), selain memastikan yuran penginapan kekal berpatutan.

Muhammad Syahmi Iman berkata, sebagai universiti yang memfokuskan bidang pengurusan, ekonomi dan kepimpinan, UUM berada pada kedudukan strategik untuk menyokong aspirasi RPTM dan melahirkan graduan berintegriti, berdaya saing serta bersedia memimpin sektor awam dan swasta.

“Kejayaan RPTM bukan hanya bergantung kepada perancangan dasar, sebaliknya memerlukan pelaksanaan yang konsisten, berfokuskan kebajikan serta berpaksikan suara mahasiswa bagi memastikan pendidikan tinggi terus menjadi pemacu utama pembangunan negara,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button