UUM dan LHDNM Kedah perkukuh kerjasama strategik
Gambar oleh Shamsaimi Ezil
SINTOK, 25 Januari 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Negeri Kedah dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, UUM, semalam.
Kunjungan tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan strategik antara UUM dan LHDNM Kedah, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran, pengetahuan strategik serta pembangunan kerjasama yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha, berharap agar kerjasama antara UUM dan LHDNM dapat memberikan manfaat kepada staf dan pelajar, khususnya dalam perkara berkaitan percukaian.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan program kerjasama bersama komuniti yang memfokuskan kepada pendedahan serta penyampaian ilmu kepada masyarakat berkaitan percukaian. Inisiatif ini dilihat penting dalam meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan serta tanggungjawab cukai.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan penganjuran program secara berkala antara UUM dan LHDNM yang berpotensi memberi manfaat kepada pelajar dan staf UUM serta warga LHDNM.
Program tersebut melibatkan aspek perkongsian kepakaran, latihan serta penglibatan profesional industri dalam aktiviti akademik.
Sementara itu, Pengarah LHDNM Negeri Kedah, Nor Azam Mohamad, berkata pertemuan ini membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kepakaran serta pengetahuan strategik bagi memperkukuh jalinan kerjasama yang lebih berkesan pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, pihak UUM turut mencadangkan agar LHDNM mempertimbangkan penerimaan pelajar UUM untuk menjalani latihan industri berdasarkan program pengajian yang bersesuaian.
Selain itu, Naib Canselor turut mencadangkan agar hubungan kerjasama antara LHDNM dan UUM diperkukuh melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan setiap tahun, khususnya dalam bidang perakaunan, sebagai platform untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Bendahari UUM, Mohtar Hasim; Dekan Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat; Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Dr. Sti Zaleha Ahmad Nadzim serta delegasi dari LHDNM.



