UUM raih pengiktirafan Nasional oleh MDEC menerusi anugerah eUsahawan Best IHL Institution 2025
Gambar oleh Muhammad Khairul Amri & Shah Noor Afizah
PUTRAJAYA, 30 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan Anugerah Tempat Kedua – eUsahawan Best IHL Institution 2025 oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sekali gus mengukuhkan kedudukan UUM sebagai antara institusi peneraju dalam pembangunan keusahawanan digital di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Naib Presiden MDEC, Ir. Wan Murdani Wan Muhamad, sempena majlis ’eUsahawan Impact Connect and Appreciation Night 2026’ yang telah berlangsung di DoubleTree by Hilton, Putrajaya.

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dan Menjalankan Tugas Pengarah Eksekutif, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Dr. Juhaida Abu Bakar,
Menurut Dr. Ahmad Martadha, pencapaian ini merupakan hasil komitmen berterusan para pensyarah yang terlibat dalam pengajaran kursus MPU1052 – Prinsip Keusahawanan dan BPME3033 – eCommerce di UUM, selain penglibatan aktif para pelajar dalam melaksanakan aktiviti perniagaan berasaskan platform digital.
“Hasil jualan melalui aktiviti perniagaan ini kemudiannya direkodkan dalam sistem di bawah seliaan MDEC, iaitu ’Go-eCommerce’, yang mengintegrasikan modul keusahawanan digital ke dalam kurikulum di Institusi Pendidikan Tinggi bagi memupuk kemahiran keusahawanan digital dalam kalangan pelajar,” kata beliau.
UUM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang menyumbang kepada kejayaan ini, khususnya Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), yang memainkan peranan utama sebagai penyumbang data dan pelaksana teras dalam pelaporan prestasi Go-eCommerce.

Peranan SBM merangkumi penyelarasan kursus keusahawanan, pemantauan pelaksanaan projek perniagaan pelajar, pengesahan rekod jualan dalam sistem Go-eCommerce serta memastikan pematuhan keperluan pelaporan yang ditetapkan oleh MDEC.
Kecekapan SBM dalam mengurus integrasi penilaian kursus dengan projek keusahawanan sebenar telah meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan data, sekali gus menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada pencapaian UUM di tempat kedua kategori Best IHL Institution tahun 2025.
Dalam konteks agenda pembangunan keusahawanan universiti, kolaborasi strategik antara CEDI, Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, dan SBM merupakan tunjang utama kepada keberkesanan ekosistem keusahawanan pelajar di UUM.

CEDI dan PPKS berperanan sebagai peneraju dasar, penyelaras strategik dan hab jaringan industri serta agensi, dengan PPKS memberi tumpuan khusus kepada pembangunan aktiviti Siswaniaga serta pemerkasaan penglibatan pelajar dalam aktiviti keusahawanan kokurikulum.
Sementara itu, SBM berfungsi sebagai pemacu pelaksanaan akademik melalui kurikulum, penyeliaan pensyarah dan pemantauan aktiviti perniagaan pelajar di peringkat operasi.
Kebergantungan strategik antara ketiga-tiga entiti ini memastikan inisiatif keusahawanan bukan sahaja dirangka di peringkat dasar, malah dilaksanakan secara sistematik dan berimpak tinggi di peringkat fakulti dan pelajar.
Pendekatan ini amat penting bagi menjayakan Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) 2026–2030 serta penyelarasan dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030), sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang bukan sekadar pencari kerja, malah pencipta peluang pekerjaan dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Dr. Juhaida Abu Bakar, Menjalankan Tugas Pengarah Eksekutif CEDI, merakamkan penghargaan kepada semua PTJ yang terlibat dan menyatakan komitmen CEDI untuk terus memperkukuh kerjasama strategik di peringkat universiti.
“CEDI akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras utama ekosistem keusahawanan UUM dengan memperkukuh kolaborasi bersama fakulti, PPKS serta rakan industri dan agensi strategik.
Pendekatan ini penting bagi memastikan inisiatif keusahawanan yang dilaksanakan bukan sahaja berterusan, malah memberi impak yang lebih besar terhadap pembangunan kemahiran, kebolehpasaran dan keupayaan pelajar untuk membina perniagaan yang mampan,” katanya.
Sebagai langkah ke hadapan, UUM komited untuk terus memperkasa agenda keusahawanan pelajar melalui pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kurikulum, kokurikulum dan sokongan ekosistem universiti.
Usaha ini diyakini akan memperkukuh peranan UUM sebagai pusat rujukan dalam pembangunan keusahawanan di peringkat IPT, selari dengan aspirasi nasional untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda berdaya saing dan berimpak tinggi. – Akmal Ahlami Md Rozai



