Naib Canselor UUM terima Blueprint Pembangunan Usahawan PMKS dan Pelan Tindakan Halal Sabah 2.0 (2026–2028)
Berita dan gambar Mohd Mahadi Mohd Razani
SINTOK, 4 Februari 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima Blueprint Pembangunan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta Pelan Tindakan Halal Sabah 2.0 (2026–2028) yang disampaikan oleh Pengerusi MUIS Halal Hab, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam satu sesi yang berlangsung EDC-UUM pada 1 Februari lalu.
Penyerahan dokumen strategik tersebut menandakan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan dan halal berasaskan ilmu, tadbir urus berintegriti serta pemerkasaan komuniti, khususnya melibatkan PMKS di Sabah dan peringkat nasional.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah kepada universiti ini sebagai rakan strategik dalam pembangunan ekonomi inklusif dan industri halal.
Menurutnya, UUM bersedia memanfaatkan kepakaran akademik, penyelidikan gunaan serta jaringan industri bagi menyokong pelaksanaan blueprint dan pelan tindakan tersebut melalui latihan, bimbingan keusahawanan, pemindahan teknologi serta pemantauan impak.
“Kerjasama ini dijangka membuka ruang kolaborasi lebih luas melibatkan penyelidikan bersama, pembangunan modul latihan, program inkubasi serta pengukuhan Halal Hab Universiti sebagai pusat rujukan dan pemangkin pertumbuhan PMKS,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MUIS Halal Hab, Muhammad Sidik bin Awang Adi menjelaskan bahawa Pelan Tindakan Halal Sabah 2.0 (2026–2028) dirangka bagi memperkukuhkan rantaian nilai halal negeri Sabah secara menyeluruh, merangkumi aspek pensijilan, pematuhan, pembangunan kapasiti usahawan, akses pasaran dan pendigitalan.
Menurutnya, pelan ini turut disepadukan dengan aspirasi pembangunan mampan dan keterangkuman sosioekonomi.
Dengan penerimaan blueprint dan pelan tindakan tersebut, UUM memperteguh peranannya sebagai universiti berimpak yang menyumbang secara langsung kepada agenda pembangunan ekonomi, keusahawanan dan industri halal negara.
Majlis penyerahan turut disaksikan oleh pasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Kerajaan, UUM.



