Bengkel Dokumentasi Laporan Horizon Baharu KIK Perkukuh Budaya Inovasi di UUM
Berita dan gambar oleh Puan Sobiroh Hamdi
SINTOK, 27 Januari 2026: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi telah menganjurkan Bengkel Dokumentasi Laporan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bertempat di Future Learning Lab (FLL) pada 27 Januari 2026.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkasa kefahaman serta kemahiran peserta dalam penyediaan dokumentasi laporan projek KIK yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi.

Bengkel tersebut telah disampaikan oleh Dr. Mohd Faizal Jamaludin pensyarah kanan UiTM Cawangan Kedah juga panel penilai Horizon Baharu KIK lantikan daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Di dalam bengkel tersebut, Dr. Mohd Faizal turut berkongsi panduan berkaitan format penulisan laporan Horizon Baharu KIK, teknik penyusunan kandungan, kaedah pembentangan data serta kesalahan lazim yang perlu dielakkan dalam dokumentasi projek.
Menurut Puan Siti Hajar, Penolong Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi, penganjuran bengkel ini amat penting bagi memastikan setiap kumpulan KIK mampu menghasilkan laporan yang memenuhi piawaian serta menonjolkan impak inovasi yang dilaksanakan.

“Dokumentasi yang baik bukan sahaja mencerminkan kualiti projek, malah menjadi elemen penting dalam proses penilaian dan perkongsian amalan terbaik di peringkat universiti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan Konvensyen KIK pada hujung bulan Mac 2026. Sehubungan itu, semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pusat Pengajian (PP) dijemput untuk mengambil bahagian serta menghantar penyertaan sebagai usaha memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga universiti.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan laporan KIK yang lebih sistematik dan berkualiti, seterusnya menyumbang kepada kejayaan projek inovasi serta kecemerlangan UUM secara keseluruhan.



