UUM dapat bangunan pusat komputer baharu bernilai RM15 juta, perkukuh infrastuktur digital universiti
Gambar oleh Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 16 Februari 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini menerima penyerahan rasmi projek siap pembinaan tambahan Bangunan Pusat Komputer atau UUM Information Technology (UUMIT) daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dalam satu majlis yang berlangsung di Foyer UUMIT Baharu, di sini.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan, Ibu Pejabat JKR, Dato’ Ir. Dr. Balamurugan A/L A Gopal, sekali gus menandakan kejayaan pelaksanaan projek strategik yang menyokong keperluan infrastruktur digital universiti.
Dalam ucapannya, Dr. Martadha berkata, penyerahan bangunan baharu UUMIT membawa makna besar kepada universiti kerana ia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan institusi, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan pendigitalan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, JKR, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.
“Bangunan baharu itu bukan sekadar penambahan fizikal kepada landskap kampus, malah merupakan pelaburan strategik bagi memastikan universiti kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era transformasi digital,” katanya.

Kemudahan itu juga dijangka menjadi nadi kepada pengurusan dan tadbir urus teknologi maklumat universiti, termasuk menyokong pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pentadbiran secara menyeluruh.
Sementara itu, Dato’ Ir. Dr. Balamurugan berkata, projek pembinaan tambahan bangunan tersebut yang bermula pada 2 Julai 2023 mempunyai kos asal sebanyak RM15,577,814.00 dan merupakan satu inisiatif strategik dalam menyokong keperluan infrastruktur digital universiti, khususnya dalam menghadapi era konvergensi digital dan pembelajaran berasaskan teknologi.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pelaksanaan, pihak JKR memastikan setiap peringkat kerja pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi serta mematuhi piawaian keselamatan, mutu dan kualiti yang ditetapkan.

Selain itu, projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh kontrak, sekali gus membuktikan tahap profesionalisme dan kecekapan pasukan projek yang terlibat, termasuk kontraktor utama, Gerak Berdaya.
Penyerahan bangunan baharu UUMIT ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh prasarana teknologi dan memperkasa ekosistem digital kampus, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus cemerlang sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing dan relevan dalam era digital.
Majlis kemudiannya disusuli dengan gimik perasmian, tayangan montaj projek, sesi menandatangani dokumen penyerahan dan penyerahan dokumen rasmi sebagai simbolik penyerahan bangunan kepada pihak universiti.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU JPM Kedah), Dato’ Haji Zepri Saad; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Puan Suriati Samsudin; wakil Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur UUM, Ir. Hamdan Noh; serta Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Kubang Pasu, Ir. Ahmad Shahril Azli Idris, bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan UUM serta pegawai kanan JKR dan UUM.



