Atlet PAP UUM serlah komitmen dalam SAM 2026
Gambar Pusat Asasi Pengurusan
KUALA LUMPUR, 30 Januari – 1 Februari 2026: Sukan Asasi Malaysia Ke-9 2026 (SAM 2026) yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melabuhkan tirainya dengan penuh meriah selepas menghimpunkan kira-kira 1,400 atlet asasi dari seluruh negara.
Bertemakan “Semarak Asasi, Gempur Prestasi”, sebanyak 15 kontinjen mengambil bahagian dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan dengan penglibatan 13 pusat asasi universiti awam, wakil daripada Matrikulasi (Kolej Matrikulasi Selangor) dan Politeknik Malaysia.

Kontinjen Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mempamerkan komitmen tinggi apabila menyertai 9 daripada 11 acara yang dipertandingkan.
Seramai 89 atlet pelajar PAP telah terpilih untuk mewakili pelbagai acara sukan termasuk bola sepak, bola tampar (berpasukan lelaki dan wanita), bola jaring, e-sukan (PUBG dan MLBB), badminton, tenpin boling serta olahraga.
Dalam persaingan yang melibatkan 15 kontinjen, UUM berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan ke-11 dengan kutipan satu pingat perak dan satu gangsa.
Pingat perak disumbangkan oleh Miza Irdina Armishah selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara catur, manakala pasukan bola sepak PAP UUM mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih pingat gangsa.

Pencapaian ini membuktikan kesungguhan, disiplin serta semangat juang tinggi dalam kalangan atlet PAP walaupun berdepan saingan sengit daripada institusi lain.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman dan turut dihadiri Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Hj Ahmad serta wakil universiti dan kontinjen yang bertanding.
Dalam majlis tersebut, Universiti Malaya (UM) turut diumumkan secara rasmi sebagai tuan rumah Sukan Asasi Malaysia bagi tahun 2027.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan yang juga merupakan Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, Sukan Asasi Malaysia merupakan kejohanan tahunan di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi sejak tahun 2018.
“Penganjuran kejohanan SAM adalah sangat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan pelajar yang holistik. Selain itu, ia turut menggalakkan pembudayaan sukan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Kejohanan ini sangat baik dalam membentuk gaya hidup sihat yang seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata,” katanya.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua atlet PAP atas perjuangan, pengorbanan serta semangat luar biasa yang dipamerkan sepanjang penyertaan dalam SAM 2026.
Semoga kejayaan ini terus menyemarakkan budaya kecemerlangan dan menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Syabas kepada seluruh kontinjen atas usaha dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi!.- Nur Hidayah Abdullah



