Penyelidik SLCP, SBM dan USM perkasa penternakan kelulut, bangunkan usahawan isteri Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Gambar Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib
BUKIT KAYU HITAM, 23 Februari 2026: Sekumpulan penyelidik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pemerkasaan komuniti apabila menghadiri Bengkel Training of Trainers (TOT) dan sesi pengumpulan data bersama kumpulan penyelidik syarikat spin-off Universiti Sains Malaysia (USM), Brainey Sdn. Bhd.
Pasukan penyelidik diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie bersama Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib, Dr. Safwan Marwin Abdul Murad, Dr. Norkhazzaina Salahuddin dan Syahrina Abdullah bekerjasama dalam merealisasikan matlamat program ini.
Gabungan kepakaran pelbagai disiplin dari pelbagai pusat pengajian memberi tumpuan kepada pembinaan model usahawan kelulut yang holistik, merangkumi aspek inovasi produk, kelestarian alam sekitar, pengurusan operasi serta strategi pemasaran berimpak tinggi.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, program ini memfokuskan kepada pembangunan penternakan kelulut secara lestari dalam kalangan isteri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) melalui pendekatan keusahawanan berasaskan komuniti.
Menurutnya, inisiatif strategik ini mendapat pendanaan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan kerjasama Pusat Jaringan Universiti Industri (CUIC), UUM. Pelaksanaan program di Kem Rejimen Sempadan 5 (RS5), Bukit Kayu Hitam, Kedah, menjadi bukti komitmen universiti dalam memperluas impak penyelidikan ke lapangan sebenar.
“Program ini berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan jurang antara dunia akademik dan industri.
“Melalui kerjasama ini, penyelidik bukan sahaja memindahkan ilmu dan teknologi, malah mempercepat proses pemerkasaan komuniti dengan membangunkan model keusahawanan yang menggabungkan inovasi, kelestarian dan nilai sosial. Akses kepada teknologi serta pasaran yang lebih luas akan meningkatkan daya saing produk kelulut tempatan,” katanya.
Perbincangan dan latihan yang dijalankan memberi penekanan kepada pemindahan teknologi, inovasi sosial serta pengkomersialan hasil penyelidikan yang mampu menjana pendapatan mampan kepada komuniti luar bandar. Tumpuan turut diberikan kepada sektor pertanian mampan, herba tropika, produk agro-biodiversiti dan prpduk hiliran yang mempunyai potensi pasaran tinggi.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah syarikat spin-off USM, Brainey Sdn. Bhd., Dr. Mohd Zulkifli Mustafa berkata, sinergi antara universiti dan industri membuka ruang kepada pembangunan model inovasi berpaksikan komuniti.
Menurutnya, dengan kepakaran dalam inovasi berasaskan neurosains tingkah laku, pembangunan produk pengguna dan reka bentuk sosial, pihaknya melihat potensi besar untuk memperkenalkan produk kelulut tempatan ke pasaran yang lebih kompetitif dan bernilai tambah tinggi.
Melalui kolaborasi ini juga, penyelidik UUM didedahkan kepada pembangunan sistem dokumentasi dan pensijilan, strategi pemasaran berstruktur, latihan berasaskan tapak (on-site training), teknik pemecahan koloni serta penyelidikan makmal yang menyokong peningkatan kualiti produk. Pendedahan menyeluruh ini memperkukuhkan ekosistem penternakan kelulut sebagai satu model keusahawanan sosial yang mampan.
Kerjasama antara UUM dan USM ini mencerminkan komitmen berterusan institusi pengajian tinggi dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian sebenar yang memberi impak ekonomi dan sosial. Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan usahawan dalam kalangan isteri ATM, malah menyumbang kepada agenda kelestarian, kesejahteraan komuniti dan pengukuhan ekonomi setempat. – Syahrina Abdullah



