Campus

Sentuhan kasih ramadan AHSGS perkukuh nilai kebajikan dan kebersamaan

Berita dan Gambar oleh: AHSGS

SINTOK, 26 Februari 2026: Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS),Universiti Utara Malaysia (UUM CAS) telah menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ramadan: Pelajar Pascasiswazah AHSGS sebagai salah satu inisiatif kebajikan tahunan bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Program ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama AHSGS dalam suasana sederhana namun sarat dengan nilai keprihatinan dan kesyukuran.

Penganjuran program ini bertujuan menyantuni pelajar pascasiswazah yang kurang berkemampuan di samping memperkukuh hubungan antara pusat pengajian dan pelajar.

Seramai sepuluh (10) orang pelajar pascasiswazah yang telah dikenal pasti sebagai penerima telah menerima sumbangan Bakul Ramadan yang disalurkan oleh pihak AHSGS. Bantuan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar, khususnya dalam membuat persiapan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal.

Dalam masa yang sama, program ini turut memperlihatkan semangat kolaborasi strategik apabila rakan kerjasama, Fast Act Advisory Agency (FAA), tampil menyumbang melalui infak bagi membantu golongan pekerja sokongan universiti.

Seramai sepuluh (10) orang kakitangan operasi daripada Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) yang bertugas di sekitar bangunan UUM CAS, AHSGS dan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah menerima sumbangan berbentuk pek makanan yang disampaikan oleh Pengurus FAA, Puan Noor Azarina Abd Kadir.

Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa serta komitmen mereka dalam memastikan persekitaran universiti sentiasa kondusif.

Dekan AHSGS, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak FAA atas kesudian berkolaborasi dalam menjayakan program kebajikan ini. Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini bukan sekadar penyampaian sumbangan, tetapi merupakan manifestasi tanggungjawab sosial serta nilai empati yang perlu terus dipupuk dalam komuniti universiti.

Beliau turut menyampaikan tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani program, menyentuh tentang kepentingan keikhlasan dalam memberi, keberkatan bersedekah serta hikmah Ramadan sebagai bulan yang mendidik jiwa untuk lebih peka terhadap kesusahan orang lain. Tazkirah tersebut memberi suntikan motivasi dan peringatan bermakna kepada para hadirin agar sentiasa bersyukur dan berkongsi rezeki dengan penuh keikhlasan.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sumbangan kepada para penerima dalam suasana penuh kegembiraan dan kesyukuran. Wajah ceria para penerima jelas mencerminkan penghargaan atas keprihatinan yang dizahirkan.

Secara keseluruhannya, Program “Sentuhan Kasih Ramadan: Pelajar Pascasiswazah AHSGS bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pusat pengajian dan pelajar, malah turut menyemarakkan budaya kebajikan dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti serta rakan kolaborasi. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan demi memastikan semangat prihatin dan berkongsi rezeki terus menjadi amalan dalam komuniti UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button