Campus

Taklimat awal penganjuran Karnival Sukan MASUM 2026

Berita dan gambar oleh Mohd Nizar bin Ahmad Padzi

SINTOK, 2 Mac 2026: Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bakal menganjurkan Karnival Sukan MASUM (KSM) pada Mei 2026 dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dipilih sebagai tuan rumah bersama kejohanan berprestij itu.

Sebagai persiapan awal, satu taklimat penganjuran telah diadakan oleh Pusat Sukan selaku sekretariat kejohanan bersama beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UUM yang akan terlibat secara langsung dalam pengurusan dan penyelarasan program.

Antara PTJ yang hadir ialah Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Jabatan Keselamatan, Unit Kenderaan, EDC Hotel serta Unit Komunikasi Korporat (UKK).

Taklimat tersebut bertujuan memastikan semua pihak mendapat maklumat awal dan jelas berhubung pelaksanaan kejohanan memandangkan kalender sukan tahun 2026 yang padat, sama ada dari sudut penganjuran mahupun penyertaan atlet universiti.

Untuk rekod, KSM 2026 akan mempertandingkan 10 acara sukan. Enam acara akan berlangsung di UUM iaitu bola tampar, bola baling, golf, karate, petanque dan sofbol. Sementara itu, empat lagi acara iaitu catur, woodball, pencak silat dan taekwando akan diadakan di UniMAP serta Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Penganjuran bersama ini dijangka dapat memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam dalam usaha memartabatkan pembangunan sukan universiti di peringkat kebangsaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button