Kejohanan Piala Naib Canselor 2026 pertandingkan empat acara sukan
Gambar Nor Fatimah Hashim
SINTOK, 4 Mac 2026: Kejohanan Piala Naib Canselor 2026 telah memasuki edisi yang ketiga penganjurannya sebagai salah satu platform mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mewakili universiti ke peringkat kebangsaan seperti Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).
Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron berkata, penganjuran kejohanan ini mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Dasar Pembangunan Sukan IPT (DSIPT) untuk melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara daripada kalangan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Menurutnya, kejohanan yang akan berlangsung pada 14 hingga 29 April depan ini menampilkan dua kelainan iaitu acara bola sepak yang akan dibahagikan kepada dua piala iaitu Piala Super (6 pasukan) dan Piala Primier (7 pasukan).
Katanya, pemilihan pasukan yang akan bermain dalam kedua-dua piala tersebut adalah berdasarkan kepada prestasi pasukan pada edisi lepas.
“Selain acara bola tampar untuk pasukan lelaki dan wanita serta bola jaring terdapat satu lagi sukan yang diperkenalkan dalam kejohanan pada edisi kali ini iaitu sukan tenpin boling.
“Pemilihan sukan ini berdasarkan sukan yang disenaraikan sebagai Sukan Teras Malaysia tetapi sangat kurang diberikan perhatian,” katanya.

Selain itu, sukan ini juga merupakan salah satu sukan yang dicadangkan untuk dipertandingkan pada kejohanan SUKIPT pada Ogos 2026 di Universiti Malaya. Oleh yang demikian, kejohanan ini juga menjadi medium pemilihan pemain yang berpotensi untuk menyumbang pingat kepada universiti.
Oleh yang demikian, satu taklimat berkaitan kejohanan ini telah diadakan bersama pengetua inapan siswa (Inasis) bagi memastikan setiap maklumat berkaitan kejohanan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Di samping itu, taklimat awal ini juga membolehkan pengetua mempersiapkan pasukan masing-masing agar kejohanan pada tahun ini akan lebih kompetitif lagi serta dapat mencungkil banyak bakat-bakat baharu daripada sukan-sukan yang dipertandingkan. – Mohd Nizar Ahmad Padzi



