Jom kacau bubur lambuk anjuran TISSA-UUM, santuni komuniti dan ziarahi staf bersara
Berita dan gambar oleh: Muhammad Muadz Bin Madzlan
SINTOK, 2 Mac 2026: Program “Jom Kacau Bubur Lambuk” anjuran TISSA-UUM telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kebersamaan di Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia pada 2 Mac 2026 bersamaan 12 Ramadan 1447H.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi ini menghimpunkan barisan staf akademik dan pentadbiran dalam usaha mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk.

Menariknya, penganjuran kali ini bukan sahaja melibatkan warga kampus, malah turut memanjangkan agihan bubur lambuk kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS) sebagai inisiatif tanggungjawab sosial dan jaringan komuniti setempat.
Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen TISSA-UUM dalam menyantuni masyarakat serta memperkukuh hubungan institusi dengan komuniti luar.

Selain itu, program turut diserikan dengan sesi ziarah ke atas staf akademik TISSA-UUM yang telah bersara, iaitu Prof. Madya Samihah Hj Saad @ Ismail.
Ziarah tersebut sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dalam dunia akademik, khususnya dalam memperkasa bidang perakaunan dan pembangunan pelajar.
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus menjadi platform memperkukuh silaturahim, menyemai nilai keprihatinan serta mengangkat semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat sekitar.



