Lawatan akademik delegasi Kolej Vokasional Seberang Perai ke TISSA-UUM
Berita dan gambar oleh: Nur Aiffa Tajeri
Sintok, 27 Januari 2026 – Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan delegasi daripada Kolej Vokasional Seberang Perai dalam satu lawatan akademik yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Insan Fikir, TISSA pada Selasa.

Seramai 35 orang pelajar bersama lima guru pengiring menyertai lawatan tersebut yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang perakaunan.
Dalam sesi taklimat, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr. Mohd Hadzrami bin Harun Rasit, telah menyampaikan penerangan berkaitan program-program akademik yang ditawarkan di TISSA.

Beliau turut berkongsi maklumat mengenai peluang kerjaya dalam bidang perakaunan serta pengalaman pembelajaran di peringkat universiti bagi memberi gambaran jelas kepada para pelajar tentang laluan pendidikan yang boleh diceburi.
Lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi pendedahan akademik, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi pendidikan teknikal dan universiti dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan yang berterusan.
Pihak TISSA-UUM merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkasa pada masa akan datang.



