Campus

UUM, PERODUA bincang inisiatif penanaman pokok di Tanjong Dawai

Berita dan gambar Noor Farishah Abdul Radzak

SINTOK, 12 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengadakan satu mesyuarat permulaan (kick-off meeting) bersama PERODUA bagi membincangkan pelaksanaan Program Kolaborasi Penanaman Pokok yang dirancang di Tanjong Dawai, Kedah pada hujung tahun ini.

UUM diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam bersama wakil Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan, Fatin Liyana Abdul Hamid.

Mesyuarat yang berlangsung secara dalam talian itu turut melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam aktiviti penanaman pokok dan pemuliharaan alam sekitar.

Dr. Chandrakantan berkata, perbincangan ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan program berteraskan kelestarian alam sekitar dengan memberi fokus kepada pemuliharaan kawasan pesisir pantai melalui kerjasama strategik antara universiti, industri, NGO, agensi kerajaan tempatan dan komuniti setempat.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja memberi penekanan kepada usaha pemeliharaan alam sekitar, malah turut dirangka sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar UUM.

“Pada masa yang sama, penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti penanaman pokok dijangka dapat memberi manfaat jangka panjang kepada kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, wakil PERODUA diketuai oleh Pengurus Besar Bahagian Perhubungan Korporat dan Komunikasi PERODUA, Sulasi Mahadi, manakala pihak MNS diwakili oleh Raffi Ismail.

Sulasi berkata, inisiatif ini juga selari dengan agenda kerajaan dalam memperkukuh kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan amalan pembangunan mampan, di samping menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Selain itu, program ini turut menyahut saranan Kerajaan Negeri Kedah menerusi Program Penanaman 2.2 Juta Pokok di Seluruh Negeri Kedah bagi tempoh 2025 hingga 2030,” katanya.

Semua pihak yang terlibat menyatakan komitmen untuk memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat setempat.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button