Menuju kecemerlangan pengajaran: SQS UUM komited mantapkan portfolio pengajaran staf akademik
Berita dan gambar oleh Fazillah Mohmad Kamal
SINTOK, 12 Mac 2026: Dalam usaha memperkasa budaya kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menganjurkan sesi perkongsian ilmu bertajuk Towards Teaching Excellence: Pathways to ITA/DTA.
Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengajaran & Pembelajaran / Global Online Learning (GOL) SQS ini telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Serbaguna (BSG).

Sesi ini menampilkan Profesor Madya Dr. Hafizah binti Mohamad Hsbollah dari Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) sebagai penceramah jemputan yang cukup berpengalaman. Dalam sesi yang santai dan sangat interaktif ini, beliau telah membawa peserta menyelami pengalaman sebenar beliau sendiri sebagai seorang pendidik.
Beliau dengan tulus berkongsi perincian mengenai apa yang telah beliau dokumentasikan sebelum ini, di samping menitipkan tip serta strategi yang sangat berguna bagi membina Portfolio Pengajaran yang mantap.

Perkongsian berharga ini amat bertepatan dengan objektif program memandangkan masih terdapat segelintir pensyarah yang kurang mendapat pendedahan mengenai proses penyediaan dokumen dan strategi pembuktian impak pengajaran yang berkesan.
Selain memberi fokus kepada anugerah pengajaran utama universiti seperti Innovative Teaching Award (ITA) dan Distinguished Teaching Award (DTA), sesi ini juga telah mengambil inisiatif untuk mengetengahkan persediaan bagi empat kategori utama Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI).
Pelaksanaan program seumpama ini tidak sekadar bertujuan mengejar anugerah, malah ia secara langsung menyokong aspirasi universiti dalam memenuhi sasaran KPI Pelan Strategik, iaitu memastikan penunjuk prestasi Bilangan Staf Akademik yang Mempunyai Portfolio Pengajaran dapat dicapai dengan cemerlang.

Lebih daripada itu, amalan terbaik yang dikongsikan oleh Dr. Hafizah diyakini mampu membantu pensyarah SQS memperbaiki kualiti pedagogi dan menyuntik elemen inovasi yang lebih segar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka pada semester baharu tidak lama lagi.
Pihak penganjur berharap agar pendedahan berimpak tinggi ini dapat membakar semangat dan meningkatkan lagi penyertaan warga akademik SQS dalam pencalonan anugerah pengajaran, sama ada di peringkat universiti mahupun mengorak langkah lebih jauh ke peringkat kebangsaan.



