General

Mesyuarat Tunas Hijau perkasa pendaftaran dan pelaksanaan projek penanaman 2.2 juta pokok di Kedah

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 12 Mac 2026: Mesyuarat Jawatankuasa Tunas Hijau bagi Projek 2.2 Juta Pokok telah diadakan hari ini di Bilik Mesyuarat Senat, Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi memperkukuh pelaksanaan program penanaman pokok serta memastikan setiap pokok yang ditanam direkodkan secara sistematik melalui laman web Pejabat Jemaah Dato’ Negeri Kedah.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Tunas Hijau, Prof. Emeritus Dato’ Wira Dr. Mohd Salleh Din dan memberi tumpuan kepada penyelarasan pelaksanaan projek penanaman pokok di seluruh negeri Kedah, khususnya dari segi pendaftaran dan pemantauan pokok yang telah ditanam.

Perbincangan turut menekankan kepentingan semua agensi, institusi dan pihak yang terlibat untuk mendaftarkan setiap pokok yang ditanam dalam laman web rasmi Pejabat Jemaah Dato’ Negeri Kedah bagi memastikan rekod yang lebih teratur, telus dan mudah dipantau.

Langkah tersebut penting bagi memastikan jumlah sebenar pokok yang telah ditanam dapat direkodkan secara sistematik selain membantu memantau perkembangan dan status pokok yang ditanam di setiap daerah.

Dalam mesyuarat itu, turut dibincangkan usaha mempergiatkan aktiviti penanaman pokok di kawasan yang telah musnah, diceroboh serta tercemar sebagai langkah memulihkan semula ekosistem alam sekitar.

Selain itu, program penanaman juga akan terus difokuskan di kawasan paya bakau di beberapa daerah di Kedah termasuk Kubang Pasu, Kota Setar, Langkawi, Baling serta kawasan lain yang berpotensi bagi memastikan kelestarian kawasan pesisir pantai dan habitat semula jadi terus terpelihara.

Program penanaman pokok ini merupakan sebahagian daripada usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri Kedah yang turut mendapat perhatian dan sokongan daripada Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang sebelum ini berkenan melancarkan Projek Penanaman Dua Juta Pokok di negeri ini.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Dato’ Seri Setia Diraja Dato’ Paduka Haji Bakar Din, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Kedah; Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed turut hadir mengiringinya.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2025, UUM melalui penglibatan kakitangan dan pelajar telah menanam sebanyak 13,353 pokok yang telah didaftarkan dalam laman web Pejabat Jemaah Dato’ Negeri Kedah.

Jumlah tersebut merangkumi 703 pokok di Kubang Pasu, 11,000 di Yan, 1,100 di Pendang dan 550 di Baling sebagai sebahagian daripada komitmen universiti dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button