General

Dulu terpinggir, kini dirai: Transformasi emosi anak yatim di tangan Kelab Patriot Kedah

Gambar oleh: Nur Zaahirah  Zakaria & Nurin Irdina Aqilah Abd Wahab 

Changlun, 4 Mac 2025: Suasana Ramadan di Changlun menjadi saksi kepada satu misi murni yang penuh emosi. Kelab Patriot Chapter Kedah (MAKDA) telah mengadakan Program Santuni Kasih Ramadan 2026 bertempat di Pusat Jagaan Anak Yatim Baitul Saba, Changkat Setol pada 4 Mac 2026.

Program ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi merupakan satu manifestasi kasih sayang mahasiswa terhadap golongan anak yatim dan asnaf bagi memastikan mereka tidak merasa terpinggir dalam kemeriahan bulan al-Mubarak ini.

Kehadiran para mahasiswa dan mahasiswi disambut dengan keceriaan melalui aktiviti mewarna yang bertujuan mencungkil kreativiti serta memecah benteng malu antara pelajar dan anak-anak syurga tersebut.

Suasana harmoni diteruskan dengan solat Asar berjemaah, yang menjadi detik awal penyatuan jiwa sebelum acara kemuncak bermula. Keadaan berubah menjadi lebih formal namun mesra dengan ketibaan barisan tetamu kehormat bagi acara perasmian dan penyampaian sumbangan duit raya yang dinanti-nantikan.

Detik yang paling menyentuh hati adalah apabila barisan VIP, mahasiswa/i, anak-anak yatim, dan warga emas duduk bersama-sama dalam majlis berbuka puasa (Iftar Ukhuwah).

Suasana rohani kian terasa apabila Pengarah Jabatan Zakat UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali sendiri mengimamkan solat Maghrib berjemaah.

Tetamu jemputan yang turut hadir ialah Pengurus Mycare Kedah, Tn. Hj. Abdul Wahab Yahya, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam,  dan Penasihat Kelab Patriot Chapter Kedah (MAKDA,) Nor Afiq Abd Razak.

Menurut Abdul Wahab Yahya, program ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, malah turut membuka ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk membina hubungan yang baik dengan anak-anak yatim serta golongan asnaf.

Beliau menyatakan bahawa hubungan yang terjalin melalui program sebegini diharapkan tidak terhenti setakat program ini sahaja, sebaliknya dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada mereka yang memerlukan.

Seramai 12 orang wakil pelajar daripada Universiti Utara Malaysia telah turun padang menjayakan program ini, menyantuni seramai 9 orang anak yatim dan 3 orang warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Anak Yatim Baitul Saba.

Secara keseluruhannya, Program Santuni Kasih Ramadan 2026 ini berjaya mencapai objektifnya untuk merapatkan jurang sosial dan menyemai semangat patriotisme melalui kerja kebajikan.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa Kelab Patriot Chapter Kedah (MAKDA) adalah sebuah organisasi yang dinamik dan prihatin terhadap isu kemanusiaan, sekali gus meninggalkan impak yang mendalam kepada komuniti Anak Kedah. – Nur Aina Solha Abdul Rashid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button