CEDI UUM perkenal empat inisiatif keusahawanan pelajar dalam sesi saringan KPT
Berita dan gambar oleh: Akmal Ahlami Md Rozai
PUTRAJAYA, 13 Mac 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri sesi mesyuarat saringan kertas cadangan Program Keusahawanan Peringkat Nasional dan IPTA yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
Dalam sesi tersebut, CEDI telah membentangkan empat (4) kertas cadangan program keusahawanan yang melibatkan satu (1) program di peringkat nasional dan tiga (3) program di peringkat IPTA. Cadangan program tersebut ialah National ESG-F&B Entrepreneurship Challenge 2026 (NEFEC ’26): Pertandingan Keusahawanan F&B bagi kategori nasional, manakala bagi kategori IPTA pula melibatkan 1 INASIS 1 Sustainable Enterprise (1iSE): “Membina Ekosistem Keusahawanan Mampan”, F&B SustainPro Studentpreneur Programme, serta Dropship Xcelerator.

Sesi pitching bagi pihak UUM telah berlangsung pada 13 Mac 2026 (Jumaat) bertempat di Bilik Mesyuarat Ibnu Jauzi, KPT dan dipengerusikan oleh Encik Hazlan Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT.
Turut hadir sebagai panel penilai jemputan ialah wakil daripada agensi strategik negara seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), SME Corporation Malaysia (SME Corp.) serta Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
CEDI diwakili oleh Dr. Juhaida Abu Bakar, Pengarah Eksekutif CEDI bersama Dr. Saiful Azizi Ismail, Timbalan Pengarah (Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar) serta Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan, Timbalan Pengarah (Penyelidikan, Jaringan Industri dan Komuniti).

Secara keseluruhannya, pihak KPT memberikan maklum balas yang positif terhadap cadangan program yang dibentangkan oleh CEDI serta mencadangkan beberapa penambahbaikan dari segi pelaksanaan bagi memastikan program yang dicadangkan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berimpak tinggi kepada pembangunan keusahawanan pelajar di institusi pengajian tinggi.
Menurut Dr. Juhaida Abu Bakar, pihak CEDI berharap agar cadangan program yang dikemukakan oleh UUM berpeluang untuk dipertimbangkan bagi menerima sokongan dana daripada KPT. Beliau turut menzahirkan komitmen CEDI untuk terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan universiti melalui pelaksanaan program yang bersifat inovatif, berimpak tinggi serta mampu melahirkan lebih ramai usahawan pelajar yang berdaya saing.

“CEDI sentiasa komited dalam memperkasa agenda keusahawanan pelajar di UUM. Sokongan dana daripada KPT akan membolehkan pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan dilaksanakan secara lebih menyeluruh, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekosistem keusahawanan kampus yang mampan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, UUM berharap agar pihak KPT dapat mempertimbangkan cadangan program yang dikemukakan oleh CEDI bagi membolehkan inisiatif pembangunan keusahawanan pelajar ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi. Sokongan dana daripada KPT dilihat mampu memperkukuh usaha universiti dalam memperkasa budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar serta menyokong aspirasi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


