Pusat Pengajian Undang-Undang santuni warga UPSB sempena aidilfitri
Gambar oleh: Ahmad Termizi Othman
SINTOK, 16 Mac 2026: Semangat kekeluargaan dan keprihatinan terus disuburkan di Universiti Utara Malaysia apabila Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) tampil menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada staf Uniutama Property Management Sdn. Bhd. (UPSB) bertempat di pejabat pentadbiran SoL, hari ini.

Sumbangan ikhlas tersebut telah disampaikan sendiri oleh Dekan SoL, Yang Berusaha Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab. Kehadiran beliau melambangkan sokongan moral yang tinggi terhadap warga kerja UPSB yang selama ini menjadi tulang belakang dalam memastikan pengurusan fasiliti dan kebersihan di pusat pengajian sentiasa berada pada tahap terbaik.

Turut hadir menyerikan majlis adalah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah, serta seluruh barisan staf pentadbiran SoL. Kehadiran semua staf pentadbiran ini mencerminkan semangat kebersamaan dan rasa hormat yang mendalam terhadap rakan strategik universiti itu.
Prof. Dr. Harlida menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan tradisi tahunan yang bertujuan untuk berkongsi rezeki serta mengeratkan ukhuwah antara warga akademik, staf pentadbiran, dan petugas sokongan. Beliau berharap agar sumbangan ini dapat memberi sedikit keceriaan dan meringankan beban para petugas dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Majlis berakhir dengan sesi ramah mesra yang ringkas namun penuh bermakna, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama antara SoL dan UPSB demi kesejahteraan warga kampus secara keseluruhannya. – Mohd Nasiruddin Abu Ghani


