General

Kunjungan Hormat Wakil Malaysia di Uganda Perkukuh Kerjasama Antarabangsa TVET UUM

Berita dan gambar oleh: Dr Wahida Yaakub

SINTOK, 11 Mac 2026 (Rabu) – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Honorary Consulate of Malaysia di Uganda, Al Haj Habib Kagimu ke Pejabat Naib Canselor pada jam 3.30 hingga 4.30 petang.

Kunjungan ini turut disertai oleh Chief Operating Officer & Senior Vice President, Dr. Muhamad Paizal Othman, Provos UUMKL Prof. Dr. Norlena Bt. Hasnan, serta Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik berimpak tinggi antara UUM dan pihak di Uganda, khususnya dalam memperluas akses pengambilan pelajar dari benua Afrika untuk melanjutkan pengajian di UUM. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan UUM sebagai hab pendidikan global, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pengantarabangsaan institusi secara lebih agresif dan berdaya saing.

Selain itu, perbincangan turut memberi penekanan kepada peluang mewujudkan kerjasama berbentuk joint venture bersama Pengurusan TVET UUM dalam pembangunan program pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) yang lebih dinamik dan berorientasikan industri. Pendekatan ini dijangka dapat memperkukuh ekosistem TVET UUM sebagai platform unggul di peringkat antarabangsa, di samping membuka ruang kolaborasi strategik merangkumi pembangunan kurikulum, mobiliti pelajar serta pemindahan kepakaran.

Inisiatif ini juga dilihat berpotensi melonjakkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan global, serta memperkukuh jenama UUM sebagai institusi yang responsif terhadap keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, seterusnya mengangkat peranan Pengurusan TVET UUM sebagai peneraju dalam memacu agenda pemerkasaan TVET ke arah kecemerlangan global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button