Barisan kepimpinan OYAGSB 2026 tekad terus memacu kecemerlangan strategik
Berita dan gambar oleh Rozita Ramli
KUALA LUMPUR, 4 Mac 2026: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menganjurkan Majlis Amanat Dekan bersempena pelantikan Dekan baharu, Prof. Dr. Hasnizam Shaari, serta Sesi Penyerahan Surat Lantikan kepada pemegang jawatan OYAGSB bagi tahun 2026.

Dalam amanat sulungnya, Prof. Dr. Hasnizam menekankan kepentingan sinergi dan kerjasama erat dalam kalangan warga kerja OYAGSB sebagai asas kepada kecemerlangan pusat pengajian. Beliau menegaskan bahawa semangat kebersamaan ini selari dengan moto OYAGSB, “We Produce Strategic Leaders.”
Beliau turut menggariskan beberapa fokus strategik bagi tahun 2026, termasuk usaha memperkukuh kualiti akademik dan penyelidikan, meningkatkan pengiktirafan serta akreditasi antarabangsa seperti AMBA dan AACSB, serta memperluas jaringan kerjasama industri di peringkat nasional dan global.

Menurut beliau, langkah-langkah ini penting bagi memastikan OYAGSB terus relevan dan berdaya saing dalam menghadapi landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik dan mencabar.
Sesi penyerahan surat lantikan tersebut menjadi simbol kepercayaan universiti terhadap barisan kepimpinan yang dilantik untuk memikul tanggungjawab strategik dalam menerajui pembangunan OYAGSB ke arah kecemerlangan yang berterusan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Bahtiar Mohamad, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat, serta Prof. Dr. Selvan Perumal, Timbalan Dekan.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar bersama pemegang jawatan baharu dan warga kerja OYAGSB, sekali gus menandakan permulaan lembaran baharu kepimpinan bagi tahun 2026 dalam usaha memperkukuh kedudukan OYAGSB ke arah merealisasikan visi universiti sebagai “The Eminent Management University” di rantau ini.



