General

Majlis khatam Al-Quran kumpulan tadarus muslimat GSGSG 2026

Gambar: GSGSG

SINTOK, 15 Mac 2026: Kumpulan Tadarus Muslimat GSGSG telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Tahun 2026 pada 15 Mac 2026 bersamaan 25 Ramadan 1447H bertempat di Bilik Mesyuarat Eksekutif GSGSG.

Kumpulan tadarus ini telah ditubuhkan pada 19 Februari 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447H sebagai satu inisiatif bagi mengimarahkan bulan Ramadan di samping memupuk budaya membaca serta menghayati Al-Quran dalam kalangan staf wanita GSGSG.

Sejak penubuhannya, seramai 14 orang staf wanita GSGSG telah menyertai sesi tadarus yang dilaksanakan secara konsisten sepanjang bulan Ramadan. Melalui komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta, kumpulan ini telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran secara bertadarus, seterusnya meraikan kejayaan tersebut melalui penganjuran Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis ini telah dipimpin oleh Puan Habibah binti Hashim yang dijemput khas bagi mengetuai bacaan khatam Al-Quran serta memimpin doa penutup majlis. Kehadiran beliau turut memberikan suntikan semangat kepada para peserta dalam memperkukuhkan kecintaan terhadap Al-Quran.

Dalam pengisian tazkirah ringkas yang disampaikan, beliau menekankan bahawa Al-Quran merupakan panduan hidup yang bukan sekadar dibaca, malah perlu difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Beliau turut mengingatkan para hadirin tentang kelebihan orang yang sentiasa mendampingi Al-Quran sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Beliau turut menekankan bahawa amalan bertadarus secara berjemaah bukan sahaja membantu meningkatkan kelancaran bacaan, malah berperanan dalam membina ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan para peserta dalam menamatkan bacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan, malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuhkan nilai kerohanian serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga GSGSG.

Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan warga universiti. – Nurul Hamiza binti Hamzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button