SCIMPA UUM anjur program pembangunan permainan digital tarik minat pelajar terhadap STEM
Gambar dan berita oleh :Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor b Che Mat
SINTOK, 25-26 Februari 2026: Satu program berkaitan penghasilan permainan digital di bawah tajaan Geran Dana Inovasi Sosial UUM 2026 Siri II telah berjaya dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah mengenai proses pembangunan permainan digital menggunakan teknologi terkini.
Program yang berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2026 itu telah diadakan di Makmal Komputer, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang penghasilan permainan digital di samping memberi peluang kepada mereka mempelajari asas-asas pembangunan permainan secara praktikal serta menarik minat mereka terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program ini telah disertai oleh 30 orang pelajar dari Sekolah Menengah Al-Azhar yang menunjukkan minat yang tinggi terhadap bidang pembangunan permainan digital. Sepanjang program berlangsung, pelajar telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk latihan praktikal dan bengkel interaktif yang memberi pengalaman secara langsung kepada mereka dalam menghasilkan permainan digital menggunakan perisian pembangunan permainan Unity 3D.
Melalui aktiviti tersebut, para pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu tentang proses pembangunan permainan digital, malah berpeluang meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi kreatif, reka bentuk permainan serta pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah. Dengan adanya program sebegini, para pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat meningkatkan keyakinan diri dalam menghasilkan produk digital mereka sendiri.

Mereka juga berpeluang mempelajari cara membina permainan secara langkah demi langkah dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman, iaitu Dr. Abdul Syafiq bin Bahrin, Dr. Mohd Fitri bin Yusoff dan Dr. Valarmathie a/p Gopalan, yang bertungkus-lumus memastikan program tersebut berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Selain itu, para pelajar turut didedahkan dengan ceramah kerjaya yang disampaikan oleh Encik Rafiq Sharman bin Khamis @ Roslee, Ketua Pegawai Eksekutif Raxbit Sdn. Bhd., yang berkongsi pengalaman serta peluang kerjaya dalam industri pembangunan permainan digital. Ceramah tersebut turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai prospek kerjaya dalam bidang seperti pembangunan permainan, reka bentuk grafik digital, pengaturcaraan permainan, animasi 3D serta industri kreatif digital yang semakin berkembang pesat pada masa kini.

Pengetua SMA Al-Azhar, En. Mohd Syahir bin Ismail, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila para pelajar menunjukkan keterujaan untuk mempelajari cara menghasilkan permainan digital mereka sendiri. Menurut Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor bin Che Mat, program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang dunia pembangunan permainan digital, malah membantu meningkatkan kemahiran kreativiti, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.
Penganjuran program ini diharap dapat membuka minda para pelajar terhadap potensi bidang teknologi kreatif serta mendorong mereka untuk meneroka peluang kerjaya dalam industri permainan digital pada masa hadapan. Program seumpama ini juga selaras dengan usaha Universiti Utara Malaysia dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pusat pemindahan ilmu dan inovasi kepada komuniti serta institusi pendidikan, khususnya dalam bidang teknologi kreatif dan pembangunan kandungan digital.



