General

Enam warga pentadbiran UUM terima kenaikan pangkat, perkukuh aspirasi organisasi

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 30 Mac 2026: Seramai enam orang staf pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima watikah kenaikan pangkat ke gred N13 (Fleksi) yang berkuat kuasa mulai 13 Mac 2026 dalam satu majlis rasmi yang diadakan pada sesi petang hari ini.

Watikah pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam majlis yang berlangsung di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM, bersempena program “Sepetang Bersama Naib Canselor: Aspirasi Budi Bakti, Mendukung Visi, Memperteguh Organisasi”.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan melaksanakan tugas dengan penuh minat dan kesungguhan serta keyakinan terhadap potensi diri setiap warga kerja.

“Laksanakan kerja dengan penuh passion. Setiap pekerja mempunyai potensi untuk terus berjaya dan maju ke hadapan,” katanya.

Enam penerima yang diraikan ialah Norma Said dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah yang dilantik sebagai Pustakawan (Fleksi) (S13), Muhammad Hafiz Mohd Ghazali dari Jabatan Sumber Manusia sebagai Pegawai Tadbir (Fleksi) (N13), dan Mazyana Hashim, juga dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah sebagai Pustakawan (Fleksi) (S13).

Turut menerima kenaikan pangkat ialah Ismadi Yaacob dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur sebagai Arkitek (Fleksi) (J13), Ir. Sayuti Nashir dari jabatan yang sama sebagai Jurutera (Fleksi) (J13), serta Mohd Nizar Ahmad Padzi dari Pusat Sukan sebagai Pegawai Belia dan Sukan (Fleksi) (S13).

Kenaikan pangkat ini merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen serta prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh para staf dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mazyana Hashim ketika ditemu bual berkata beliau telah berkhidmat sebagai pustakawan sejak tahun 2004, menjadikan tempoh perkhidmatannya kini mencecah 22 tahun.

Beliau melahirkan rasa syukur serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan UUM atas kepercayaan yang diberikan melalui kenaikan pangkat tersebut.

Menurutnya, kenaikan pangkat itu bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang lebih besar untuk dipikul.

“Insha-Allah, saya akan terus memberikan komitmen terbaik dalam melaksanakan tugas demi menyokong aspirasi universiti dan perpustakaan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button