Kelas pertama kokurikulum bermula dengan semangat baharu
Gambar oleh: Pusat Kokurikulum
SINTOK, 4 April 2026 – Permulaan kelas pertama bagi kursus kokurikulum untuk semester A252 menyaksikan sebanyak 60 kursus ditawarkan kepada para mahasiswa.
Pelaksanaan kursus ini menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan mahasiswa secara holistik, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad, penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum mampu membentuk jati diri, kepimpinan serta kemahiran insaniah yang amat penting dalam dunia kerjaya masa kini.
Beliau turut menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk mengembangkan potensi diri di luar bilik kuliah.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Akademik), Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah, menegaskan bahawa penyelarasan antara elemen akademik dan kokurikulum adalah penting bagi memastikan pembangunan pelajar yang seimbang dan menyeluruh.

Beliau berharap agar semua pelajar dapat memberikan komitmen yang tinggi sepanjang mengikuti kursus yang ditawarkan.
Dalam pada itu, jurulatih baharu dan lama turut menzahirkan semangat serta motivasi yang tinggi dalam memastikan setiap aktiviti yang dijalankan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Sokongan dan komitmen padu daripada seluruh staf Pusat Kokurikulum juga jelas terpancar, mencerminkan kesungguhan dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada mahasiswa.
Turut dikongsikan, beberapa pelajar menyatakan keterujaan mereka dalam mengikuti kursus kokurikulum pada semester ini.

Seorang pelajar berkata, “Kursus kokurikulum memberi peluang kepada kami untuk membina keyakinan diri dan mencuba perkara baharu di luar bidang akademik.”
Manakala, seorang lagi menambah, “Saya berazam untuk memberikan komitmen penuh dan memanfaatkan setiap aktiviti bagi meningkatkan kemahiran diri serta pengalaman sepanjang pengajian.”
Dengan permulaan yang positif ini, Pusat Kokurikulum optimis bahawa semester A252 akan berjalan dengan lancar serta memberi impak yang signifikan kepada pembangunan pelajar secara menyeluruh. – Nur Khairiel Anuar



