ISEP’26 perkukuh pengantarabangsaan UUM menerusi penampilan di Selamat Pagi Malaysia
Berita dan gambar oleh: Nur Damisha Husna binti Zuli Hendra
KUALA LUMPUR, 4 April 2026: Program International Student Mobility Programme 2026 (ISEP’26) anjuran Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi dengan Kerjasama Persatuan Komunikasi (PERKOM) Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila diberi liputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Penampilan ini menjadi platform strategik untuk memperkenalkan ISEP’26 kepada khalayak lebih luas, khususnya dalam kalangan pelajar dan institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SMMTC merangkap penasihat ISEP’26, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata penampilan ISEP’26 di platform arus perdana seperti Selamat Pagi Malaysia merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh visibiliti program di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program ini bukan sekadar mobiliti pelajar, tetapi satu ekosistem pembelajaran holistik yang menggabungkan elemen akademik, budaya dan komuniti.
Malah menurut Muhammad Syafiq Haikal bin Syafie, Pengarah ISEP’24 program yang akan dijalankan ini telah mamasuki tahun ketiga dengan memberi penekanan kepada pengalaman sebenar di kampus kepada pelajar antarabangsa melalui interaksi bersama pelajar tempatan dan komuniti, yang mampu membentuk kecekapan komunikasi antara budaya serta meningkatkan kesediaan pelajar untuk berhadapan dengan persekitaran global.
Melalui segmen temubual tersebut, Nur Damisha Husna binti Zuli Hendra, Pengarah ISEP’26 berkongsi keunikan ISEP’26 yang menekankan pendekatan “learning beyond classroom”, termasuk penempatan peserta bersama pelajar tempatan, interaksi dengan komuniti setempat, serta penglibatan dalam aktiviti akademik dan kebudayaan.

Bagi tahun 2026, ISEP memberi fokus kepada akademik dan khidmat komuniti. Antara pengisian utama program termasuk aktiviti akademik UUM Learning Experience iaitu pengalaman pembelajaran di kampus UUM bersama pelajar tempatan dan antarabangsa, Cultural Tour bagi memperkenalkan warisan dan budaya tempatan Kedah.
Selain itu, aktiviti Living with Local sebagai platform imersi komuniti manakala International Competition akan dilaksanakan sebagai satu pakej lengkap dalam menguji kreativiti dan pemikiran strategik peserta selama 14 hari di Kampus UUM, Sintok.
Penampilan di Selamat Pagi Malaysia juga bukan sahaja meningkatkan keterlihatan program, malah menyokong usaha universiti dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menarik lebih ramai penyertaan global.

Selain itu, ia turut mencerminkan komitmen UUM dalam menyokong Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 melalui Lonjakan 7: Keunggulan Global dengan menekankan pengantarabangsaan dan pembangunan pelajar secara holistik.
ISEP’26 dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 22 Mei 2026 di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menghimpunkan pelajar antarabangsa serta tempatan dalam satu pengalaman pembelajaran berasaskan mobiliti global secara tidak berkredit.
Maklumat lanjut mengenai ISEP’26 boleh didapati melalui laman web rasmi http://www.smmtc.uum.edu.my/isep serta Instagram rasmi program di @isep_uum. Siaran ulangan Selamat Pagi Malaysia boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi ISEP https://youtu.be/jqmEnL7qRM4?si=wdw70gK727YkaxQm



