Campus

Taklimat unit aktiviti (Pengurusan Projek KLK) semester kedua sesi 2025/ 2026

Gambar oleh: Pusat Kokurikulum

SINTOK, 7 April 2026: satu sesi taklimat rasmi bagi Unit Aktiviti (Pengurusan Projek Kegiatan Luar Kuliah – KLK) telah diadakan pada jam 9.00 pagi di Pusat Kokurikulum. Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pelaksanaan, pengurusan serta keperluan projek KLK bagi semester kedua sesi 2025/2026.

Sesi Taklimat telah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar. Penerangan merangkumi konsep KLK, prosedur permohonan, pelaksanaan program serta pengurusan dokumentasi.

KLK merupakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang melibatkan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di luar bilik kuliah seperti program komuniti, kursus, pertandingan dan kolaborasi dengan agensi luar. Pelaksanaan KLK bertujuan memperkasa kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi.

Menerusi taklimat ini, pelaksanaan KLK dimaklumkan sebagai suatu inisiatif yang digalakkan (kecuali bagi kursus tertentu) dan hendaklah selari dengan visi serta misi Pusat Kokurikulum, dengan penekanan terhadap elemen keusahawanan, pembangunan komuniti dan sumbangan kepada masyarakat. Sehubungan itu, pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja melalui sistem yang ditetapkan serta mematuhi sepenuhnya garis panduan sepanjang pelaksanaan program.

Di samping itu, peruntukan kewangan turut disediakan berdasarkan tempoh program, dan pelajar digalakkan untuk menjalin kerjasama strategik dengan pihak luar bagi mengoptimumkan penggunaan sumber. Aspek dokumentasi juga diberi penekanan, di mana laporan akhir, bahan visual berkualiti tinggi serta resit perbelanjaan yang lengkap perlu disediakan bagi tujuan tuntutan.

Taklimat ini juga menggalakkan para pelajar untuk lebih cakna serta meningkatkan pemahaman yang menyeluruh, di samping memperoleh pengalaman pembelajaran yang signifikan, khususnya dalam aspek perancangan program, pengurusan aktiviti serta kepentingan pematuhan terhadap prosedur yang telah ditetapkan. Sesi ini secara tidak langsung meningkatkan tahap kesiapsiagaan pelajar dalam melaksanakan projek KLK secara lebih sistematik, terancang dan berkesan.

Disamping itu, taklimat ini turut menekankan isu lazim seperti kelewatan permohonan, perubahan saat akhir dan ketidaklengkapan dokumen. Oleh itu, pelajar disaran merancang program secara sistematik dan mematuhi semua garis panduan. Secara keseluruhannya, taklimat ini berjaya memberikan pemahaman yang jelas kepada pelajar dalam melaksanakan projek KLK secara berkesan serta berimpak tinggi. – Muhammad Syahmi Jumbri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button