Lebih 351,000 permohonan UPU direkod, JMU bantu calon buat pilihan
Gambar oleh: Jurufoto, UUM
SINTOK, 11 April 2026: Permohonan melalui UPU Online bagi lepasan SPM mencatatkan 238,524 calon, manakala lepasan STPM/setaraf pula sebanyak 112,488 calon, menjadikan keseluruhan 351,012 permohonan diterima daripada 379,578 pembelian nombor pin.
Serentak ini, tarikh tutup permohonan melalui UPU Online lepasan SPM dilanjutkan kepada 13 April 2026 sebelum 12 tengahari.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman memaklumkan perkara berkenaan Ketika merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (UUM), mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau berkata karnival ini bukan sekadar program tahunan, sebaliknya merupakan wadah strategik negara dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi secara inklusif dan menyeluruh.
“Kita sedang berada dalam era perubahan besar yang dipacu oleh Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan transformasi hijau.

“Dalam keadaan ini, maklumat yang tepat dan bimbingan yang jelas amat penting agar pelajar dapat membuat keputusan yang bijaksana dan berpandangan jauh,” katanya.
Dr. Azlinda berkata, penganjuran karnival seperti ini memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa memahami syarat kemasukan, meneroka kepelbagaian program akademik, mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan pendidikan serta berinteraksi secara langsung dengan wakil institusi dan kaunselor akademik.
Menurutnya, pendidikan tinggi merupakan pemacu utama pembangunan negara, dengan universiti berperanan sebagai pusat penghasilan pemikiran, inovasi dan penyelesaian kepada cabaran masyarakat.

“Kita tidak mahu melahirkan graduan yang hanya cemerlang di atas kertas, tetapi insan yang mempunyai kemahiran insaniah, kepimpinan, daya tahan dan adab,” katanya.
Karnival JMU Zon Utara menghimpunkan penyertaan 20 universiti awam, institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta 35 universiti dan agensi swasta, melibatkan keseluruhan 66 reruai pempamer.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata karnival berkenaan merupakan platform penting kepada pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM dan Diploma untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan peluang melanjutkan pengajian.
Menurut beliau, lebih 74 buah sekolah dari Perak hingga Perlis telah mengesahkan kehadiran, manakala hampir 57 pempamer terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi berkaitan mengambil bahagian.

“Kami menjangkakan lebih 20,000 pelajar dan ibu bapa akan mengunjungi karnival ini. Program seperti ini membantu mereka mendapatkan maklumat tepat berkaitan syarat kemasukan dan program pengajian sebelum membuat pilihan,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai perkhidmatan disediakan sepanjang karnival termasuk sesi konsultasi UPU, peluang penajaan, pinjaman pendidikan serta biasiswa.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat menyeluruh serta berinteraksi secara langsung dengan wakil institusi pengajian tinggi.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dato’ Dr. Mazlan Yusoff; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Zurina Abdul Hamid; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar Akademik Kementerian Pendidikan Tinggi, Ts. Rudy Adrie Idris; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Naib-Naib Canselor dan Rektor universiti awam serta swasta



