UUM-QHHU inbound mobility program perkasa pembelajaran holistik dan ESG di Pusat Kokurikulum
Gambar oleh: Pusat Kokurikulum
Sintok, 11 April 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa melalui penganjuran UUM x QHHU Inbound Mobility Program yang berlangsung di Pusat Kokurikulum. Program ini melibatkan kehadiran delegasi dari Qingdao Huanghai University (QHHU), China, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pengalaman pembelajaran global dalam kalangan pelajar.
Seramai 70 pelajar dan 5 pensyarah dari QHHU telah menyertai program ini, bersama sokongan 6 staf SCIMPA serta 10 pelajar buddies SCIMPA yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aktiviti dan interaksi budaya.

Program ini menampilkan penglibatan aktif dalam kelas kokurikulum di bawah Unit Muzik dan Seni, termasuk:
- Kelas Angklung
- Kelas Caklempong
- Kelas Tarian
- Kelas Gamelan
Melalui aktiviti ini, para peserta berpeluang mendalami warisan seni dan budaya Malaysia secara praktikal, di samping membina kemahiran insaniah seperti komunikasi antara budaya, kerja berpasukan, dan kepimpinan.

Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad, dalam ucapannya menegaskan bahawa program ini merupakan platform penting dalam membentuk pelajar holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kepekaan global dan nilai kemanusiaan.
“Program mobiliti seperti ini bukan sekadar pertukaran budaya, tetapi juga medan untuk membina pelajar yang holistic yang berdaya saing, berfikiran terbuka dan mampu beradaptasi dalam persekitaran global. Pada masa yang sama, elemen ESG diterapkan melalui penghargaan terhadap kelestarian budaya, interaksi sosial yang inklusif serta pengurusan program yang bertanggungjawab.”

Beliau turut menambah bahawa penerapan elemen Environmental, Social and Governance (ESG) dalam program ini dapat dilihat melalui pemeliharaan warisan seni tradisional, pengukuhan hubungan sosial antara pelajar pelbagai negara, serta tadbir urus program yang sistematik dan berimpak tinggi.
Program ini mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial, selaras dengan aspirasi pembangunan mahasiswa holistik serta agenda pengantarabangsaan universiti.



