Campus

Majlis Peluncuran Kejohanan Piala Naib Canselor UUM 2026

Gambar Pusat Sukan

SINTOK, 13 April 2026: Majlis Peluncuran Kejohanan Piala Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah di Bilik Merbau, Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS) pada Rabu lalu.

Majlis berprestij tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang turut menzahirkan sokongan padu universiti terhadap pembangunan sukan dalam kalangan pelajar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pengarah Akademi Golf Nasional (AGN), barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta para pengetua Inapan Siswa (INASIS).

 

Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan mahasiswa di samping memperkasa budaya sukan dan gaya hidup sihat dalam komuniti kampus.

Sebanyak 16 INASIS termasuk penyertaan mahasiswa luar kampus akan mengambil bahagian dalam kejohanan edisi 2026 ini, menjadikannya antara penganjuran terbesar setakat ini.

Menariknya, kejohanan kali ini menampilkan pertandingan bola sepak yang dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Piala Liga Super dan Piala Liga Premier, sekali gus memberi lebih peluang kepada penyertaan yang lebih kompetitif dalam kalangan pelajar.

Selain bola jaring dan bola tampar, sukan tenpin boling turut diperkenalkan sebagai acara baharu bagi edisi 2026, menambah variasi dan tarikan kejohanan.

Kejohanan ini dijadualkan berlangsung bermula 14 hingga 29 April 2026 dan dijangka akan menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta yang mewakili INASIS masing-masing.

Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Martadha menekankan kepentingan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum, khususnya sukan, sebagai medium pembentukan sahsiah, kepimpinan dan semangat berpasukan.

Majlis peluncuran ini diharap menjadi pemangkin kepada penganjuran kejohanan yang lebih gemilang serta mampu melahirkan atlet-atlet berpotensi untuk mewakili universiti ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – Mohd Nizar Ahmad Padzi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button