WanderMY angkat Homestay Sedim ke pentas digital di JMU 2026 Zon Utara
Gambar WanderMY UUM
SINTOK, 13 April 2026: Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) yang berlangsung selama dua hari pada 11 sehingga 12 April lalu terus menjadi platform strategik dalam mendedahkan laluan pendidikan tinggi kepada generasi muda, di samping membuka ruang kepada inovasi mahasiswa untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Dalam kemeriahan program tersebut, pasukan pelajar UUM di bawah nama WanderMY telah mengambil peluang menganjurkan Mini Showcase bagi memperkenalkan projek pelancongan komuniti yang dibangunkan sempena penyertaan dalam Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program IDCT 2.0 merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang memberi fokus kepada usaha memperkasakan perusahaan sosial dalam sektor pelancongan komuniti melalui penerapan teknologi digital, inovasi dan keusahawanan sosial secara lebih strategik dan mampan. Sejajar dengan matlamat tersebut, pasukan WanderMY telah memilih Homestay Sedim sebagai komuniti projek berdasarkan potensinya yang besar dalam menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti yang autentik.
Ahli pasukan WanderMY, Eiman Hazim kamal Izzuwan berkata, konsep homestay yang diketengahkan memberi penekanan kepada pengalaman menyeluruh kepada pelancong, di mana pengunjung bukan sahaja menginap bersama keluarga angkat, malah turut berpeluang menyertai aktiviti harian komuniti seperti penyediaan makanan tradisional, aktiviti kampung serta penerokaan alam semula jadi di kawasan sekitar.

Menurutnya, pemilihan Homestay Sedim juga didorong oleh keunikan produk sedia ada yang mempunyai nilai komersial tinggi, namun masih berdepan cabaran dari segi keterlihatan digital dan strategi pemasaran, khususnya dalam menarik minat pelancong muda dan pengguna platform digital.
Sehubungan itu, projek ini dibangunkan dengan beberapa objektif utama iaitu meningkatkan keterlihatan digital komuniti, memperkukuh identiti jenama Homestay Sedim serta memperkenalkan pendekatan pemasaran yang lebih kreatif, interaktif dan berimpak tinggi.
Dari segi pelaksanaan, pasukan WanderMY telah membangunkan platform digital termasuk akaun media sosial baharu dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan promosi dan copywriting yang lebih interaktif. Pendekatan ini turut disokong dengan elemen audio visual yang lebih dinamik dan selari dengan trend pemasaran digital semasa.

Selain itu, pasukan ini turut membangunkan chatbot berasaskan aplikasi Telegram yang berfungsi sebagai medium interaktif untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna. Inovasi ini diperkukuh lagi dengan integrasi elemen teknologi seperti augmented reality (AR) bagi memperkayakan pengalaman pengguna secara lebih imersif dan menarik.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi impak positif kepada komuniti setempat dengan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk kampung melalui peningkatan promosi, tempahan pakej homestay serta penglibatan aktif dalam sektor pelancongan komuniti.
Dalam menjayakan penyertaan ini, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), UUM memainkan peranan penting sebagai penyelaras dan pemudah cara program dengan menyediakan sokongan dari aspek perancangan, penyelarasan aktiviti serta pengurusan penyertaan pasukan ke platform pertandingan IDCT 2.0. Penglibatan CEDI turut memastikan pelaksanaan projek berjalan secara sistematik dan selaras dengan keperluan program serta memberi nilai tambah kepada pembangunan kapasiti pelajar dan komuniti.

Mentor Akademik Pasukan WanderMY, Raslinda Ghazali memaklumkan bahawa penyertaan dalam program IDCT 2.0 memberi peluang besar kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar bersama komuniti.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran berasaskan projek ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal pelajar dalam bidang pelancongan dan pemasaran digital, malah turut membentuk keupayaan mereka dalam memahami keperluan komuniti serta merangka solusi yang praktikal dan berimpak.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, penyertaan ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti melalui pendekatan inovasi dan teknologi.

Menurutnya, penglibatan aktif pelajar dalam program seperti IDCT 2.0 berupaya melahirkan graduan holistik yang mampu menjadi agen perubahan serta menyumbang kepada pembangunan pelancongan komuniti secara mampan.
Penyertaan WanderMY dalam Program IDCT 2.0 membuktikan keupayaan pelajar UUM dalam mengaplikasikan ilmu, kreativiti dan teknologi sebagai agen perubahan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan perusahaan sosial dan pelancongan komuniti secara mampan. – Aidil Azli



