UUM-Proton jalin kerjasama strategik, persediaan graduan ke pasaran global
Gambar oleh: Dr. Fikriyah Abdullah
SUBANG JAYA, 10 April 2026: Satu sesi perbincangan strategik telah diadakan antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan PROTON Holdings Berhad bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan pelajar serta memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.
Pertemuan yang diadakan di PROTON Centre of Excellence (COE), Subang Jaya itu memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif yang boleh dilaksanakan secara bersama, khususnya dalam menyediakan pelajar dengan pendedahan yang lebih relevan kepada keperluan industri semasa.

Delegasi dari UUM dihadiri oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam selaku Pengarah Pusat Kerjasama Universiti – Industri (CUIC), bersama Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, Pengetua Inasis Proton, serta Mohd Sukri Othman, Pegawai Tadbir Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD).
Perbincangan tersebut turut disertai oleh wakil kanan PROTON iaitu Dr. Kasuma Satria Mat Jadi selaku Ketua Pegawai Sumber Manusia, Logeswran Ramasamy selaku Timbalan Pengarah, Pembelajaran & Pembangunan, serta Nazlynda Jamaluddin, Pengurus, Tenaga Kerja, yang berkongsi pandangan serta komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan bakat graduan.

Antara perkara utama yang dibincangkan adalah peluang penempatan latihan industri kepada pelajar secara lebih berstruktur, selaras dengan keperluan kemahiran dalam sektor automotif yang dimulakan oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.
Selain itu, dalam pertemuan tersebut Dr. Fikriyah Abdullah, menyatakan hasrat dan menjemput PROTON untuk turut serta dalam program pembangunan pelajar seperti School of Hard Knocks (SoHK), yang memberi fokus kepada latihan berasaskan industri dan peningkatan kemahiran praktikal sebelum menjalankan latihan industri.
Dalam sesi yang sama, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, turut berkongsi perkembangan terkini berkaitan penginapan pelajar Inasis PROTON serta mencadangkan penjenamaan semula termasuk penggunaan logo, sebagai usaha memperkukuh identiti universiti serta meningkatkan daya saing di peringkat lebih luas.
Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama jangka panjang yang lebih strategik, termasuk cadangan untuk mewujudkan pusat servis PROTON di dalam kampus universiti. Menurut Mohd Sukri Othman, inisiatif ini dilihat berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, bukan sahaja dari segi kemudahan perkhidmatan, malah sebagai platform latihan praktikal kepada pelajar dalam bidang berkaitan.

Di samping itu juga, pihak PROTON turut menyatakan minat untuk memperkenalkan PROTON Young Talent (PYT) Programme kepada pelajar UUM, iaitu sebuah program pembangunan laluan pantas (fast-track) yang direka khas bagi graduan muda berpotensi tinggi untuk memacu kompetensi kerja di peringkat permulaan melalui pendekatan pembelajaran teradun yang komprehensif, sekali gus memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan pantas dalam ekosistem operasi PROTON yang dinamik.
Secara keseluruhannya, sesi perbincangan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh jaringan kerjasama industri-akademia serta menyokong pembangunan graduan yang lebih berdaya saing dan memenuhi kehendak pasaran kerja masa kini.



