General

UUM, TIFB teroka kerjasama strategik perkasa pembangunan pelajar

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 19 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama industri apabila menerima kunjungan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB), Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, dalam satu sesi pertemuan bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Bahagian Agensi TIFB, Ezwandy Mahidi; Dekan Pusat Pengajian Perniagaan (IBS), Prof. Dr. Selamah Maamor; serta Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah, bersama barisan pegawai eksekutif lain.

Dalam sesi perbincangan, Naib Canselor memaklumkan mengenai kedudukan semasa ranking UUM sebagai antara usaha berterusan universiti dalam memperkukuh reputasi di peringkat global.

Beliau turut mencadangkan agar TIFB memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosikan pelan perlindungan takaful kepada warga kampus, khususnya dalam kalangan pelajar dan staf sokongan, selaras dengan keperluan keselamatan kewangan yang semakin penting.

Selain itu, program IKHLAS Padawan yang diperkenalkan oleh pihak TIFB menerima pujian atas inisiatifnya membuka peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan serta membina kemahiran praktikal dalam dunia sebenar.

Naib Canselor juga menekankan kepentingan pensijilan profesional dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar IBS UUM memulakan permohonan Request for Proposal (RFP) bagi melaksanakan program Registered Financial Planner (RFP), mengambil contoh kejayaan pelaksanaannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam usaha memperkukuh lagi hubungan akademia dan industri, Naib Canselor turut mencadangkan pelantikan Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi sebagai Felo Adjung di IBS, UUM.

Pertemuan ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperluas kerjasama strategik antara UUM dan pihak industri, khususnya dalam memperkasa pembangunan pelajar serta meningkatkan kebolehpasaran graduan sejajar dengan keperluan semasa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button