Campus

Program OSH fasa 3 siri 2 himpun 160 pelajar, perkukuh kesedaran keselamatan industri

Gambar oleh: Nur Farah Johari

SINTOK, 20 April 2026: Seramai 160 pelajar telah menyertai Program Occupational Safety and Health (OSH) Fasa 3 Siri 2 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 April 2026. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) serta Tatacara Sdn. Bhd.

Program ini merupakan sebahagian daripada siri pelaksanaan berterusan OSH yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pengetahuan serta kesedaran pelajar terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Ia juga berperanan sebagai inisiatif strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan graduan menghadapi keperluan serta cabaran alam pekerjaan sebenar.

Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi latihan dan pendedahan yang merangkumi pengurusan risiko, pematuhan prosedur keselamatan, serta amalan kerja selamat di tempat kerja.

Pendekatan berasaskan industri turut diterapkan melalui perkongsian pengalaman oleh pengamal industri yang terlibat, bagi memberi gambaran lebih realistik kepada pelajar.

Menurut Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari, program ini memberi impak positif dalam membentuk nilai tambah kepada pelajar, khususnya dari segi persediaan memasuki alam pekerjaan. Beliau menjelaskan bahawa pensijilan yang diperoleh melalui program OSH ini boleh dijadikan sebagai kelebihan kompetitif dalam penyediaan resume pelajar.

“Pensijilan ini memberi nilai tambah yang penting kepada pelajar apabila melangkah ke alam pekerjaan. Ia bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah menunjukkan kesediaan pelajar untuk memenuhi keperluan industri yang semakin menitikberatkan aspek keselamatan dan kompetensi tambahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), SBM, Dr. Norzalila Jamaluddin menyifatkan program ini sebagai satu usaha berterusan yang signifikan dalam membentuk graduan yang lebih bersedia, berdaya saing dan peka terhadap aspek keselamatan di tempat kerja.

“Program seperti ini sangat penting dalam membina kesedaran awal pelajar terhadap budaya kerja selamat. Ia bukan sahaja melengkapkan aspek akademik, tetapi turut membentuk sikap profesional yang diperlukan oleh industri,” ujarnya.

Kerjasama antara UUM dan Tatacara Sdn. Bhd. ini diharap akan terus diperkukuh bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada pendedahan berasaskan industri seperti ini.

Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen berterusan pihak universiti dalam memperkasakan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kemahiran tambahan yang relevan dengan keperluan industri semasa. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button