Kerjasama IBS dan TIFB dalam Forum Takaful
Gambar oleh: Muhamad Syamsul Akmal Mohd. Nasir
SINTOK, 19 April 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama industri menerusi penganjuran Forum Takaful: Solusi atau Sekadar Pilihan yang berlangsung di Dewan Auditorium Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.
Forum tersebut menampilkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB), Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi; Naib Presiden Bahagian Agensi TIFB, Ezwandy Mahidi; serta Pengurus Akaun Bahagian Penyelesaian Korporat TIFB, Muhammad Iqbar Shukri.

Forum yang dikendalikan oleh Pensyarah IBS UUM, Dr. Amirul Faiz Osman itu disertai oleh staf serta pelajar UUM dan memfokuskan kepada kepentingan takaful sebagai alat pengurusan risiko.
Ahli panel turut menekankan keutamaan pengurusan risiko dalam hierarki kewangan mengikut kemampuan setiap individu.

Dalam ucapan perasmian, Dekan IBS UUM, Prof. Dr. Selamah Maamor menegaskan bahawa takaful wajar menjadi keutamaan bagi umat Islam berbanding insurans.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen IBS dan TIFB dalam meningkatkan kesedaran mengenai takaful serta pengurusan risiko kepada pelbagai golongan, sekali gus melahirkan masyarakat yang celik kewangan. – Dr. Mohamad Yazid Isa



