“Jom tembusi geran komuniti”: Inisiatif SBM UUM Tingkat keupayaan penyelidikan berimpak sosial
Berita dan gambar oleh: PM Dr. Zuraida binti Hassan
SINTOK, 7 April 2026: Jawatankuasa Penyelidikan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan webinar bertajuk “Jom Tembusi Geran Komuniti: Tips, Strategi & Pengalaman” sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkasa keupayaan pensyarah dalam mendapatkan geran berteraskan komuniti serta meningkatkan impak sosial universiti kepada masyarakat.
Program yang berlangsung secara dalam talian ini menampilkan penceramah dan penyelidik berpengalaman, Ts. Dr. Mathivannan a/l Jaganathan, yang berkongsi pengetahuan, strategi, serta pengalaman praktikal dalam menembusi geran berteraskan komuniti. Webinar ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan pensyarah dari pelbagai bidang di UUM, khususnya mereka yang ingin memperkukuh kemahiran dalam penulisan proposal dan pengurusan projek komuniti.

Dalam ucapan pembukaan, pihak penganjur menekankan bahawa geran berteraskan komuniti bukan sahaja menjadi sumber pembiayaan penyelidikan, malah merupakan platform penting untuk pemindahan ilmu (transfer of knowledge) dan pembangunan masyarakat secara mampan. Seiring dengan aspirasi UUM untuk menjadi universiti yang berimpak tinggi kepada komuniti setempat.
Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting dalam penyediaan proposal geran berteraskan komuniti. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah teknik mengenal pasti isu sebenar dalam komuniti, kaedah merangka objektif projek yang jelas dan berimpak, serta strategi menyelaraskan cadangan projek dengan keperluan penaja. Penceramah turut menekankan kepentingan elemen kelestarian dan kebolehlaksanaan dalam sesuatu cadangan projek, agar impak yang dihasilkan dapat diteruskan walaupun selepas tempoh pembiayaan tamat.

Selain itu, webinar ini turut memberi penekanan kepada kesilapan lazim yang sering dilakukan dalam penulisan proposal, seperti kurangnya kejelasan dalam penyataan masalah, kelemahan dalam justifikasi projek, serta ketiadaan pelan penilaian impak yang sistematik. Melalui perkongsian ini, peserta berpeluang memahami bagaimana untuk mengelakkan kelemahan tersebut dan seterusnya meningkatkan kualiti proposal yang dihasilkan.
Salah satu kekuatan utama webinar ini adalah pendekatan praktikal yang digunakan oleh penceramah. Peserta bukan sahaja menerima penerangan teori, tetapi juga didedahkan kepada contoh sebenar proposal yang berjaya, termasuk struktur penulisan, gaya penyampaian, dan elemen penting yang dinilai oleh pihak penaja. Pendekatan ini membantu peserta untuk melihat secara langsung bagaimana teori diaplikasikan dalam konteks sebenar.
Di samping itu, sesi soal jawab yang interaktif turut memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklum balas secara langsung berkaitan idea projek masing-masing. Ramai peserta mengambil kesempatan untuk bertanya mengenai peluang geran yang bersesuaian dengan bidang kepakaran mereka, serta strategi untuk membina jaringan kerjasama dengan pihak komuniti dan agensi luar.

Penganjuran webinar ini juga dilihat sebagai satu usaha penting dalam membina ekosistem penyelidikan yang lebih kolaboratif di UUM. Dengan adanya perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pakar, pensyarah yang kurang berpengalaman dapat dibimbing dan diberi keyakinan untuk mula terlibat dalam permohonan geran berteraskan komuniti. Ini selaras dengan inisiatif pembangunan komuniti penyelidikan dalaman yang menekankan konsep mentor-mentee dan sokongan berterusan.
Lebih penting lagi, webinar ini turut menyokong agenda universiti dalam meningkatkan indikator prestasi utama (PI) berkaitan penjanaan pendapatan daripada penyelidikan dan penglibatan komuniti. Kejayaan dalam memperoleh geran berteraskan komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada pensyarah dari segi pembangunan profesional, tetapi juga menyumbang kepada reputasi universiti sebagai institusi yang aktif dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.



