Campus

Sesi mentor-mentee Ikhlas Padawan 2.0 fokus pemahaman asas takaful dan pemasaran

Gambar oleh: Dr. Fikriyah Abdullah & Dr. Aidanajwa Sabri

SINTOK, 24 April 2026: Program Ikhlas Padawan 2.0 yang berlangsung di DKG 2/2 pada 24 April 2026 telah dijalankan dengan penuh pengisian bermanfaat dan mendapat sambutan yang baik daripada para peserta.

Program di bawah School of Hard Knocks (SoHK) ini merupakan hasil kolaborasi Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam bersama Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB).

Dalam sesi ini, peserta Ikhlas Padawan 2.0 dapat berjumpa secara bersemuka bersama mentor-mentor, yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan, membina jaringan, serta meningkatkan kefahaman peserta terhadap bidang yang diceburi.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi pendedahan berkaitan pemahaman asas takaful bagi membantu peserta memahami konsep perlindungan kewangan berlandaskan prinsip syariah.

Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aspek asas pemasaran, termasuk konsep mengenal pasti sasaran pelanggan yang tepat, teknik komunikasi yang efektif, serta kaedah membina hubungan dan kepercayaan dengan prospek.

Penekanan turut diberikan kepada kepentingan memahami keperluan pelanggan serta bagaimana menawarkan solusi yang bersesuaian melalui produk takaful.

Selain itu, para mentor yang berpengalaman dalam industri turut berkongsi pengalaman sebenar mereka dalam mengendalikan pelanggan, menghadapi cabaran di lapangan, serta strategi yang digunakan untuk mencapai kejayaan dalam bidang pemasaran takaful.

Perkongsian ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada para peserta, malah membantu mereka mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang realiti industri tersebut.

Menurut Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, program seperti ini sangat membantu dalam membuka minda peserta terhadap kepentingan ilmu pemasaran yang betul dalam industri takaful. Beliau turut menekankan bahawa asas pemasaran yang kukuh merupakan langkah pertama untuk membina keyakinan diri serta keupayaan berkomunikasi dengan pelanggan secara profesional.

“Melalui sesi ini, peserta bukan sahaja memahami teori, tetapi juga dapat melihat bagaimana pendekatan tersebut diaplikasikan dalam situasi sebenar,” katanya.

Program ini juga menampilkan sesi interaktif yang membolehkan para peserta berkomunikasi secara dua hala dengan mentor.

Para peserta mengambil peluang untuk bertanya soalan, mendapatkan pandangan serta nasihat, dan berkongsi pengalaman masing-masing. Suasana yang santai tetapi berfokus ini berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih terbuka dan berkesan.

Di samping itu, sesi perjumpaan ini turut memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri peserta untuk lebih berani mencuba dan melibatkan diri dalam aktiviti pemasaran. Sokongan serta bimbingan daripada mentor memberi dorongan kepada peserta untuk terus berusaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam industri takaful.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi impak dari segi peningkatan ilmu pengetahuan, malah berjaya mengukuhkan hubungan antara mentor dan mentee. Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dan potensi peserta, seterusnya melahirkan individu yang lebih kompeten dan berdaya saing dalam industri takaful pada masa hadapan. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button