Campus

Inasis MAS ungguli FTM 2026, cipta kejuaraan berganda dua tahun berturut-turut

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 24 April 2026: Inasis MAS mengungguli kejuaraan Fiesta Tradisi Milenial (FTM) 2026 apabila mempertahankan kejuaraan tahun ini sekaligus mencipta nama sebagai juara berganda selepas turut memenangi edisi 2025.

Selain muncul juara keseluruhan, Inasis MAS turut meraih tempat pertama dalam pertandingan lagu tradisional IRMAWARIS serta tempat kedua bagi pertandingan Rangdah Pusaka iaitu tarian tradisional seperti zapin, joget dan inang.

 

Inasis MAS turut menang naib juara bagi kategori ETNOFREQ iaitu pertandingan berkonsepkan persembahan band menggabungkan nilai tradisi dan budaya dijelmakan melalui irama serta muzik eksperimen berasaskan muzik asli.

Kemenangan itu menyaksikan Inasis MAS membawa pulang piala pusingan tajaan ANR Rancak serta geran kebudayaan bernilai RM500.

Pengumuman tersebut dibuat pada Majlis Perasmian Penutup FTM 2026 yang berlangsung di Dataran Budaya, Universiti Utara Malaysia (UUM), malam tadi.

 

Presiden Inasis MAS merangkap peserta FTM 2026, Mohamad Nur Hakeem Mohamad Khapeli berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha berpasukan serta komitmen tinggi semua pihak sepanjang tempoh persediaan program.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas izinNya Inasis MAS sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Perasaan itu sukar digambarkan dan saya amat gembira serta teruja apabila nama Inasis MAS diumumkan.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan komitmen semua warga Inasis. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengetua serta penasihat Biro Kesenian dan Kebudayaan Inasis MAS atas sokongan penuh yang diberikan,” katanya.

 

Menurut beliau, pertandingan tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana kehidupan kampus tetapi menjadi ruang kepada pelajar menonjolkan bakat dalam pelbagai bidang nyanyian, tarian, nasyid dan muzik.

Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar, di samping memupuk minat terhadap warisan budaya tradisi.

Inasis MAS turut memenangi Anugerah Khas Juri (Irmawaris), Anugerah Koreografi Terbaik (Rangdah Pusaka) serta Anugerah Busana Terbaik (Nurfreq).

FTM 2026 yang berlangsung selama enam hari menghimpunkan pelbagai acara kebudayaan dan kesenian, sekali gus menjadi platform mahasiswa UUM menonjolkan bakat serta memartabatkan warisan budaya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button