Campus

Aktiviti “Water Confident” USR UUM perkasa keyakinan diri dan kesedaran marin

Gambar: Pusat Kokurikulum

PULAU PERHENTIAN, TERENGGANU, 23 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kokurikulum terus mengorak langkah dalam memperkasa pembangunan holistik pelajar menerusi pelaksanaan aktiviti Water Confident sempena Program University Social Responsibility (USR) bersama komuniti Pulau Perhentian, Terengganu.

Aktiviti berasaskan air ini memberi tumpuan kepada sesi snorkeling di sekitar perairan Pulau Perhentian yang terkenal dengan keindahan biodiversiti marin. Program ini dilaksanakan selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3 (Good Health and Well-being), SDG 4 (Quality Education) dan SDG 14 (Life Below Water), di samping menyokong prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) melalui pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan sosial yang lestari.

Program ini disertai oleh pelajar UUM dengan sokongan penuh barisan kepimpinan Pusat Kokurikulum termasuk Pengarah, Dr. Za’im bin Ahmad dan Timbalan Pengarah (Aktiviti), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel bin Anuar. Kehadiran mereka yang turut sama menyertai aktiviti berjaya menyuntik semangat, meningkatkan keyakinan serta menggalakkan penglibatan aktif dalam kalangan peserta.

Sebelum aktiviti dimulakan, peserta diberikan taklimat keselamatan serta pendedahan kepada teknik asas snorkeling bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang program. Sepanjang sesi berlangsung, peserta berpeluang meneroka keindahan ekosistem marin termasuk terumbu karang serta pelbagai hidupan laut seperti ikan tropika dan penyu, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung yang sukar diperoleh di dalam bilik kuliah.

Lebih daripada sekadar aktiviti rekreasi, program ini turut menekankan aspek kesedaran alam sekitar apabila peserta didedahkan kepada etika penjagaan laut seperti tidak menyentuh terumbu karang, mengelakkan pencemaran serta menghormati habitat hidupan marin. Pendekatan ini penting dalam membentuk sikap bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar.

Bagi pelajar UUM, penyertaan dalam aktiviti Water Confident ini memberikan pelbagai manfaat termasuk peningkatan keyakinan diri, keberanian mencuba sesuatu yang baharu serta pembangunan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan dan komunikasi. Pengalaman berada di persekitaran sebenar juga membantu pelajar mengurus cabaran, membina daya tahan serta memupuk kesedaran tentang kepentingan keseimbangan antara manusia dan alam sekitar.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam membina keyakinan diri peserta melalui aktiviti air di samping menyemai kesedaran terhadap pemeliharaan khazanah marin. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berkeperibadian tinggi, selaras dengan aspirasi SDG dan ESG dalam pembangunan masyarakat serta alam sekitar secara lestari. – Muhammad Zikri A. Sohor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button