Pusat Islam terima kunjungan PTPTN Kedah, Perkasa Kebajikan Penghuni RUKAYDA melalui simpanan SSPN
Gambar oleh : Aus Korni Yahaya
Sintok, 4 Mei 2026 – Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Kedah yang diwakili oleh Nurul Shuhada Ahmad, Pengurus Jualan Pejabat PTPTN Negeri Kedah, bagi mengadakan sesi semakan dan penawaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada para penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Asnaf (RUKAYDA), UUM.
Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Muhammad Syazwan Menon, Pegawai Tadbir Pusat Islam serta Aus Korni Yahaya, Ketua Warden RUKAYDA, yang bersama-sama menyokong pelaksanaan inisiatif kebajikan ini.

Sesi ini bertujuan memberi pendedahan serta kemudahan kepada penghuni untuk membuat semakan akaun sedia ada di samping membuka akaun baharu SSPN. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) merupakan inisiatif simpanan pendidikan yang ditawarkan oleh PTPTN bagi menggalakkan perancangan kewangan awal pendidikan anak-anak, di samping menyediakan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan cukai pendapatan, perlindungan takaful, dividen tahunan yang kompetitif serta kelayakan memohon pinjaman pendidikan PTPTN.

Program ini merupakan salah satu bentuk kebajikan kepada penghuni RUKAYDA dalam memastikan kesejahteraan kewangan masa depan khususnya dalam aspek pendidikan, di samping membudayakan amalan menabung secara sistematik sejak awal.
Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, menzahirkan penghargaan atas komitmen pihak PTPTN Negeri Kedah dalam menjayakan sesi ini. Beliau berharap agar kerjasama strategik seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta diperluaskan manfaatnya kepada lebih ramai penghuni, sekali gus menyumbang kepada pembinaan generasi yang celik kewangan dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk pendidikan yang lebih baik di masa akan datang. – Nor Azlinah Zaini



